Hiburan

Saya pun susah, tapi bila sudah bantu kita pula yang ditipu – Amar Asyraf

RAMAI sebenarnya selebriti yang dijadikan tempat untuk memohon bantuan dan perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu.

Kebanyakan selebriti yang berkemampuan akan menghulurkan bantuan cuma tidaklah dihebahkan kepada umum dan perkara itu dianggap sesuatu yang peribadi.

Namun, seperti yang dijangka, dalam kita hendak membantu orang yang dalam kesempitan, sudah pasti ada yang cuba mengambil kesempatan.

Itulah yang terjadi kepada pelakon, Amar Asyraf yang memberitahu dalam seminggu, sudah hampir tiga kali dia ditipu mereka yang memerlukan bantuan.

Menurut Amar, tambah menyedihkan apabila dia sendiri tidaklah berada dalam kategori yang berkemampuan cuma bila ada rezeki yang lebih, dia seboleh-bolehnya mahu berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

“Ramai yang hantar mesej kepada saya untuk meminta bantuan kewangan dan sebagainya. Alhamdulillah, mana yang saya mampu, saya cuba kongsikan rezeki.

“Cuma bila dah masukkan duit ke akaun mereka, saya minta alamat untuk bantuan susulan dan mereka tidak mahu. Pelbagai alasan diberikan. Bukti-bukti lain yang menunjukkan mereka dalam kesusahan pun tidak diberikan

“Ketika itu yang saya sedar bahawa sebenarnya ada yang cuba mengambil kesempatan. Dalam seminggu, sudah hampir tiga kali saya kena begini,” katanya kepada Suara Merdeka.

Menurut Amar, apa yang membuat dia terkilan adalah kerana dia sendiri berhadapan dengan masalah kewangan dan cuba membantu bila memperoleh rezeki yang lebih.

Malah, dia juga mengakui cuba menjual barangan semata-mata kerana mahu mengisi duit minyak kenderaan sahaja.

“Alhamdulillah, berkat sokongan rakan-rakan selebriti, akhirnya saya beroleh rezeki yang baik dan doa saya dimakbulkan Allah dan rezeki pun ada

“Sebab itu bila ada yang cuba menipu, saya terkilan walaupun jumlahnya tidak banyak. Sebab kalau boleh biarlah mereka yang memerlukan untuk terima bantuan tersebut,” katanya.

Disebabkan itu, Amar memberitahu yang dia kini lebih berhati-hati dalam menghulurkan bantuan kerana tidak mahu ditipu.

Menurutnya, buat masa ini dia akan meminta bukti seperti individu tersebut mengambil gambar bersama kad pengenalan untuk memastikan mereka benar-benar memerlukan bantuan.

“Memang ramai yang hantar mesej di Instagram saya. Sebab itu saya minta maaf sangat pada mereka yang saya tidak sempat balas mesej.

“Saya pun bukanlah orang senang, tapi mana rezeki yang saya dapat pasti akan dikongsi,” katanya. -SM

 

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button