Nasional

Naib Canselor Universiti Awam bentang resolusi pendidikan tinggi bumiputera

Naib-Naib Canselor Universiti Awam (UA) membentangkan Resolusi Pendidikan Tinggi Bumiputera kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir pada Isnin.

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataan memberitahu empat tema telah dipersetujui untuk dikemukakan iaitu, akses pendidikan tinggi kaum Bumiputera; penyediaan bakat mahasiswa Bumiputera semasa di universiti; kebolehpasaran graduan Bumiputera; dan penubuhan pusat kajian pembangunan Bumiputera.

Pembentangan resolusi ini melibatkan empat Naib Canselor iaitu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman; Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff; Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Sebelum itu telah diadakan beberapa siri bengkel bagi memperhalusi resolusi yang ingin disampaikan ini dan diketuai oleh Penasihat Pendidikan Tinggi, KPT, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali.

Beliau juga akan mewakili kluster pendidikan tinggi bagi membentangkan resolusi pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang akan berlangsung bermula 29 Februari 2024 sehingga 2 Mac 2024.

Kerjasama dalam menggariskan tema ini dilihat penting dalam menggerakkan usaha bagi mengukuhkan tahap kebolehpasaran graduan Bumiputera yang semakin mencabar yang menuntut beberapa inisiatif dan sokongan.

Terdapat beberapa usaha yang perlu dilaksanakan, termasuklah biasiswa khas diteruskan  kepada pelajar Bumiputera, kerjasama antara agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), kursus keusahawanan diperluaskan di universiti, serta penawaran biasiswa kepada pelajar B40 Bumiputera untuk mengikuti latihan industri di syarikat ternama.

Aspek pemerkasaan graduan Bumiputera juga ditekankan seiring dengan Malaysia MADANI iaitu membentuk graduan dengan daya cipta tinggi, sahsiah dan integriti, semangat ihsan dan berupaya memajukan kerjaya sendiri.

Sesi tersebut turut membincangkan penubuhan Pusat Kajian Pembangunan Bumiputera bagi tujuan membangunkan pangkalan data Bumiputera, menjalankan kajian, mewujudkan pelantar perbincangan, dan advokasi polisi bagi membangunkan masyarakat Bumiputera.

Pusat ini akan dikelola oleh UiTM melalui Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) dan UKM melalui Malaysian Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA).

Dengan mengintegrasikan pendidikan yang relevan dengan keperluan industri, pengalaman pembelajaran melalui program pembangunan kemahiran dan keusahawanan, serta jaringan profesional, graduan Bumiputera akan lebih bersedia untuk memasuki pasaran kerja. – SM

(Visited 33 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button