Politik

Saya mohon baca, nilailah – Mas Ermieyati

Calon bagi Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini mengedarkan risalah dari rumah ke rumah.

Dalam hantaran ke media sosial beliau berkata, dia tetap berkempen dengan sihat dan patuhi SOP yang ditetapkan.

”Tadi selepas sarapan, pergi dari rumah ke rumah untuk masukkan flyers­ dalam peti surat dan selitkan di bawah pintu rumah.

”Saya mohon untuk baca dan nilailah,” katanya.

Dalam pada itu walaupun kawasan berkenaan merupakan kubu kuat Barisan Nasional tetapi pengundi Melaka perlu mengubah landskap politik negara dan memberi peluang kepada wanita untuk menjadi pemimpin masa depan.

Perkara itu diajukan juga oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Mas Ermieyati mempunyai ketokohan yang boleh diketengahkan, bukan sahaja di Melaka tetapi juga pada negara.

“Cakap mengenai pemimpin, orang akan cakap perempuan tidak boleh jadi pemimpin besar. Itu salah kerana kini Mas Ermieyati adalah seorang yang boleh diketengahkan.

“Kalau kita boleh terima hakikat bahawa jantina tidak menentukan kepimpinan, maka saya memohon supaya rakyat Melaka dapat memberikan sokongan kepada beliau.

“Intergriti yang dibawa oleh Mas Ermieyati sangat baik dan tidak perlu dipersoal,” katanya selepas menerima kunjungan daripada Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Al Junid; Pengarah Urusan Kumpulan, Rafiq Razali; Pengarah Jualan, Kerajaan dan Wilayah Omnia, Mohd Efendi Omar dan Pengurus Besar Kumpulan, Pejabat Pengerusi Kumpulan, Azlan Abdul Aziz, semalam.

DUN Tanjung Bidara menyaksikan persaingan tiga penjuru membabitkan Mas Ermieyati bagi calon PN, Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (BN) dan Zainal Hassan sebagai calon Pakatan Harapan (PH).

PRN Melaka diadakan selepas DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

 

 

(Visited 320 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button