Rencana

Saya Melayu dan tak malu pernah kerja estet

Saya Borhan Abu Samah. Pernah bekerja estet sekitar akhir tahun 80-an.

Estet Bukit Tebuan di Bandar Baharu, Kulim Kedah ditanam dengan sawit dan pokok getah.

Di bukit inilah saya memasang angan-angan untuk mempunyai kerjaya yang baik. Dan oleh kerana sedar latar belakang keluarga yang miskin, saya tidak mempunyai pilihan lain untuk mencapai angan-angan yang kemudian menjadi cita-cita, selain melanjutkan pelajaran ke universiti.

Saya belajar bidang kewartawan di Institut Teknologi Mara. Semasa belajar saya juga mengambil mata pelajaran Bahasa Tamil.

Dengan cara itu saya dapat mendalami bahasa yang dipertuturkan oleh kaum India itu. Apatah lagi saya sering mendengar rakan-rakan sekerja yang kebanyakan kaum India berbahasa Tamil.


Dek kerana faham bahasa Tamil, saya mudah bergaul dengan orang India selain saya juga lebih memahami budaya serta adat resam mereka.

Saya juga gemar menonton filem Tamil. Saya juga pernah menjelajah negara India dengan menaiki kereta api dan bas.

Jadi apabila ada individu membangkitkan soal kaum dan asal keturunan dengan sukan badminton, saya amat terkejut.

Sekarang sudah 2021, masih ada orang berfikiran sempit dengan mengecam pemain badminton wanita Kisona dengan mempertikaikan kaum dan asal-usulnya, ia sangat menyedihkan.

Kisona bertungkus-lumus untuk mencapai kemenangan ketika berdepan dengan lawan yang jauh lebih baik rankingnya di gelanggang Piala Sudirman.

Memang pergerakan Kisona tidak lancar di dalam gelanggang, tetapi kalau kita lihat kedua-dua lutut beliau, jelas tidak berada dalam keadaan baik kerana ditampal dengan pendakap.

Sama ada beliau cedera, atau belum pulih sepenuhnya dari kecerderaan.

Bakat beliau sangat menyerlah dan perkara itu tidak boleh dinafikan. Saya yakin jika beliau benar-benar cergas dan bebas dari kecederaan, tidak sukar untuk jurulatih membawa beliau ke tahap yang lebih tinggi.

Soal sukan sebenarnya ia sudah dikendali dengan baik, yang harus diperbetulkan ialah pemikiran sempit masyarakat kita.

Oleh itu kempen  Keluarga Malaysia yang dilaksanakan pada masa ini sangat bertepatan kerana tidak ramai yang mahu berbicara soal ini.

Langkah diambil Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memang tepat pada masa dan ketika.

Kita perlu balik kepada asas iaitu keluarga kita dalam mendepani cabaran dan inilah menjadi tonggak kekuatan kita.

Di dalam keluarga kita boleh berlainan pendapat, tetapi tidak sampai mengguriskan hati serta perasaan ahli keluarga.

Tali keluarga harus terus digenggam bagi merapatkan ikatan kekeluargaan.

Ini pengajaran yang harus kita belajar dan diperbetulkan dengan segera demi masa depan Keluarga Malaysia.

 

 

(Visited 4,749 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button