Politik

Saya mahu ke kantor – Anwar

KUALA LUMPUR, 29 Feb — Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencalonan semula Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri kelapan adalah  keputusan Pakatan Harapan (PH).

“Itu PH punya keputusan,” katanya ringkas ketika ditemui media di kediamannya di Bukit Segambut hari ini.

Terdahulu beliau bersama isterinya yang juga Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menaiki kenderaan meninggalkan kediamannya di sini, kira-kira pukul 11.35 pagi tadi.

Ditanya ke mana tempat beliau akan pergi selepas ini, Anwar sekadar menjawab: “ke kantor (pejabat)”, namun media yang menunggu di Hotel Eastin melaporkan beliau tiba di hotel itu kira-kira pukul 12.10 tengah hari untuk menghadiri mesyuarat PH.

Sementara itu Anwar mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat.

Dipercayai ini menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin berkenaan selepas kerajaan PH tumbang dan Dr Mahathir meletakkan jawatan perdana menteri sekaligus mencetuskan krisis politik.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan intipati sebenar menyuarat berkenaan kerana Anwar enggan mengulas lanjut.

“Jumpa, jumpa, semalam,” kata Presiden PKR secara ringkas kepada media ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu.

Beliau ditemui sebaik tiba bersama isterinya yang juga Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menghadiri mesyuarat dipercayai bersama Ahli Parlimen PH di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut kelihatan di hotel berkenaan ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi PKR, Ahli Parlimen Klang Datuk Dr Xavier Jeyakumar (Naib Presiden PKR), Ahli Parlimen Lumut Datuk Dr Mohd Hatta Ramli (Setiausaha Agung Amanah) dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Seri Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR).

Dalam perkembangan terkini, Dr Mahathir pagi ini mengeluarkan kenyataan mengejut mengatakan bahawa beliau yakin mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen di Dewan Rakyat dan bersedia untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri kelapan.

Dalam kenyataan itu Dr Mahathir juga berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan PH pagi ini.

Dalam pada itu PH juga turut mengeluarkan kenyataan menyatakan sokongan penuh bagi Dr Mahathir untuk jawatan perdana menteri.

— BERNAMA

(Visited 86 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button