Politik

Saya harap ahli-ahli Parlimen teruskan khidmat terbaik untuk rakyat dan negara – Muhyiddin

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendirian ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini turut membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan ancaman COVID-19.

“Saya harap ahli-ahli Parlimen dapat terus memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran ke Facebook beliau.

Beliau juga  mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan yang bekerja keras menyediakan Belanjawan 2021 ini dari peringkat awal sehingga diluluskan hari ini.

“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat yang dengan ikhlas  mendoakan agar Belanjawan 2021 ini diluluskan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup mereka.

“Alhamdulillah, saya sekali lagi melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT apabila Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini,” katanya.

Pada masa sama beliau mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menyokong Belanjawan 2021 dari peringkat dasar, peringkat jawatankuasa  sehingga kepada bacaan kali ketiga.

“Saya juga ingin merakamkan rasa terima kasih kepada semua Ahli Parlimen kerajaan yang turut menyokong rang undang-undang ini ketika dibahaskan pada peringkat 27 kementerian sehingga diluluskan sama ada menerusi undian suara atau belah bahagi.

“Sokongan padu ini membuktikan Kerajaan PN sentiasa mengambil kira kebajikan, keselamatan nyawa, kesejahteraan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara dalam apa sahaja tindakan yang diambil.

“Ini juga membuktikan ahli-ahli Parlimen yang menyokong menyedari dan menginsafi bahawa belanjawan ini sangat penting kepada kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan yang sudah dirancang dengan keutamaan sudah tentunya untuk melawan pandemik COVID-19 serta meningkatkan taraf hidup rakyat seluruh lapisan masyarakat terutama golongan B40, M40, golongan rentan serta golongan kurang bernasib baik,” katanya.

(Visited 670 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button