MahkamahNasional

Saya hanya tahu akaun milik Najib selepas siasatan 1MDB bermula-saksi

SEORANG pengurus kanan jabatan sebuah institusi perbankan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau hanya mengetahui akaun persendirian dengan kod nama AmPrivate Banking-MR adalah milik bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika siasatan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula.

Bekas pengurus kanan di Jabatan Jualan Pertukaran Mata Wang Asing Ambank ,Rosliza Ishak, 48 berkata, sewaktu beliau mengambil alih portfolio pelanggan “AM Private Banking Division” daripada pegawai atasannya, beliau tidak diberitahu mengenai butiran pemilik akaun.

“Saya tahu ada pelanggan daripada “AM Private Banking Division” yang lebih suka sekiranya identiti mereka tidak didedahkan walaupun kepada pegawai bank itu sendiri.

“Mereka (pegawai atasannya) juga tidak menyebut akaun tersebut adalah milik Datuk Seri Najib. Saya hanya diberitahu kod nama dan tiada maklumat lain didedahkan,” katanya .

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib menurut laporan Malaysia Now.

Terdahulu, Rosliza ketika membacakan pernyataan saksinya berkata, beliau telah menukar mata wang pound sterling £8.7 juta (RM45,837,485.70) dalam enam transaksi antara 23 Jun dan 19 Disember 2014 selepas menerima arahan daripada bekas pengurus perhubungan pelanggan Ambank Joanna Yu.

“Yu akan memberikan arahan kepada jabatan saya selepas pelanggan bersetuju dengan kadar tukaran wang asing yang diberikan.

“Jabatan saya kemudiannya akan membuat pertukaran (wang asing) mengikut arahan yang diberikan oleh Yu, selepas pelanggan mengesahkan pertukaran tersebut,” kata saksi pendakwaan ke-25 itu.

Bagaimanapun, Rosliza berkata, Yu tidak menyebut secara spesifik identiti pelanggan bagi akaun yang dikendalikannya, kerana kesemua transaksi hanya menggunakan kod nama.

Yu merupakan saksi penting dalam kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung. – SM

(Visited 176 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button