Ekonomi

Sime Darby Property dan Tenaga Nasional Berhad Meterai Memorandum Persefahaman Untuk Inisiatif Tenaga Solar

Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) meneruskan perkembangan lestarinya dengan kerjasama strategik bersama Tenaga Nasional Berhad (“TNB”) untuk penerokaan dan pembangunan inisiatif tenaga
mampan.

“Kerjasama ini menggambarkan strategi kami dalam membangunkan portfolio yang mampan dan berdaya maju secara komersial untuk menerajui peralihan industri hartanah domestik kepada tenaga boleh diperbaharui. Ia juga menandakan komitmen kami untuk mengurangkan jejak karbon Syarikat serta memainkan peranan kami dalam agenda hijau negara,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican.

Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak akan meneroka potensi perkongsian usaha sama untuk menyelaras penyelesaian bumbung solar di perbandaran dan pembangunan Syarikat. Projek perintis kediaman tanah termasuk pemajakan ruang bumbung serta pelaksanaan penyelesaian bumbung solar ke atas 1,000 hartanah sedia ada mahupun akan datang di Bandar Elmina dan perbandaran yang lain.

Selain itu, Sime Darby Property dan TNB akan meneroka pelaksanaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik dalam perbandaran dan/atau pembangunan Syarikat.

Kedua-dua rakan strategik ini juga akan bekerjasama dalam meneroka penyelesaian mikrogrid di perbandaran,
taman perindustrian dan bank tanah (‘land bank’) Sime Darby Property.

“Tenaga boleh diperbaharui bukan sekadar melibatkan penjanaan elektrik untuk menangani isu  sumber terhad. Ia melibatkan pemupukan minda yang sedar akan kepentingan alam sekitar dan sosial.

“Dengan meneruskan inisiatif berfokuskan kemampanan, kami dapat menyokong usaha Malaysia untuk mencapai matlamat tenaga bersih dan menegakkan Matlamat kami sebagai Pengganda Nilai kepada Masyarakat, Perniagaan, Ekonomi dan Planet,” tambah Azmir.

Pada 27 Julai 2023, Sime Darby Property telah mengumumkan sokongannya terhadap visi Kerajaan untuk mencapai 70% kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050 bersempena dengan pelancaran NETR Fasa 1 oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. – SM

(Visited 116 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button