Mahkamah

“Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya” – Ahmad Zahid

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah dengan pindaan tuduhan dibacakan di mahkamah hari ini dan menyifatkannya bertujuan memastikan hukuman lebih berat terhadap beliau.

Pasukan pendakwaan hari ini memberitahu mahkamah untuk meminda pertuduhan ke-27 terhadap Presiden UMNO itu bagi kes penggubahan wang haram yang dihadapinya.

“Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya. Terima kasih. (Saya) Tidak mengaku (salah),” katanya selepas dibacakan pertuduhan baharu di dalam kandang tertuduh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu sebaik mahkamah bersidang hari ini pasukan pembelaan Ahmad Zahid memaklumkan mereka telah membuat laporan polis berhubung tularnya mesej minggu lalu yang dikatakan keputusan mesyuarat majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu.

Hisyam Teh Pok Teik memberitahu, mesej itu menyatakan akan ada dakwaan lebih keras dalam kes mahkamah membabitkan Ahmad Zahid.

Dikatakan ia boleh digunakan sebagai bahan rundingan, sementelahan MPT Bersatu mahukan Ahmad Zahid dijatuhi hukuman sebelum Jun agar parti itu bekerjasama dengan UMNO dalam pilihan raya umum kelak.

“Pembelaan juga telah membuat laporan polis berkenaan hal ini dan mahu pihak berkuasa menyiasat tentang kebenaran dakwaan berkenaan.

“Kedua-dua pihak tertuduh (Ahmad Zahid) dan pembelaan mempunyai keyakinan yang penuh terhadap yang arif,” kata Hisyam kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Termasuk hari ini pertuduhan ke-27 telah dipinda sebanyak tiga kali dan pasukan pendakwa telah meminda pertuduhan sebanyak empat kali sepanjang perbicaraan berjalan.

Pindaan kali ini melibatkan bilangan cek daripada 30 keping berjumlah RM6,885,300.20 keping 35 keping cek berjumlah RM7,511,250.20.

Dalam pertuduhan terbaru, Ahmad Zahid – antara Mac hingga Julai 2016 – didakwa mengarahkan Omar Ali Abdullah untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek.

Cek-cek itu kemudiannya dikatakan diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank, yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram. – SM

 

(Visited 387 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button