Nasional

Terengganu benarkan solat Aidiladha, ibadah korban mengikut SOP

SOLAT sunat Aidiladha dibenarkan di semua masjid dan surau di Terengganu selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, namun hanya untuk jemaah lelaki dan pemastautin.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, bilangan jemaah yang hadir mestilah mengikut kesesuaian keluasan masjid serta surau.

Para jemaah diwajibkan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan kerajaan.

“Selain itu, ibadah korban juga boleh dilakukan sama ada di pekarangan masjid atau surau, di halaman rumah, di kawasan lapang seperti padang.

“Rumah penyembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dan rumah penyembelihan ruminan swasta yang mempunyai lesen JPV atau mana-mana tempat yang sesuai dengan kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak yang hendak melaksanakan ibadah korban perlu membuat permohonan dengan mengisi borang yang disediakan oleh JHEAT dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi garis panduan dan SOP ibadah korban boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Ta’zir) (Terengganu) 2001 atau undang-undang yang berkaitan.

“Sebarang aktiviti lain adalah tidak dibenarkan dan perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa tertakluk kepada arahan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Osman berkata, semua masjid dan surau telah diberi kebenaran untuk memperluaskan aktiviti keagamaan bermula semalam.

“Kebenaran diberi dengan perkenan Sultan Mizan agar aktiviti keagamaan dapat ditingkatkan dan diimarahkan lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

“Bagaimanapun, kebenaran untuk kuliah atau pengajaran agama hanya diberi kepada imam masjid, para da’i dan mualim yang dilantik oleh Maidam iaitu selepas solat Maghrib dan ditamatkan apabila masuk waktu Isyak,” katanya. – BERNAMA

(Visited 172 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button