Politik

BN siasat kekeliruan kenyataan media parti

Barisan Nasional (BN) mengakui berlaku kekeliruan dalam kenyataan Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam termasuk berhubung merayu supaya Yang di-Pertuan Agong menitahkan sidang Parlimen diadakan segera.

Setiausaha Eksekutif BN Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata, susulan kekhilafan yang berlaku pihaknya bertindak menggantung tugas ketua pegawai media BN selama sebulan.

Katanya, penggantungan itu bagi tujuan siasatan dalaman dilakukan.

“Merujuk kepada kenyataan pengerusi BN bertarikh 4 Mac 2021, Zahid telah mengarahkan agar sedikit kekeliruan terhadap kenyataan media berkenaan adalah atas kekhilafan pegawai di sekretariat BN.

“Sehubungan itu saya mewujudkan jawatankuasa siasatan dalaman pada pagi ini bagi membincangkan penyiaran kenyataan media pengerusi BN yang tidak mendapat kelulusan Sekretarian Dewan Tertinggi BN terlebih dahulu yang kurang tepat sebagaimana yang diperbincang dan diputuskan mesyuarat Dewan Tertinggi BN,” katanya dalam kenyataan tanpa menyatakan secara jelas bahagian kekhilafan yang dimaksudkan.

Semalam kenyataan media memetik Zahid sebagai berkata, BN menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan yang Parlimen tidak akan bersidang ketika tempoh darurat seolah-olah mencabar titah Agong serta menghina institusi raja.

Dalam kenyataan itu juga, Zahid dilapor menyarankan Ahli Parlimen menyeru perdana menteri dan Jemaah Menteri menghormati titah Agong mengadakan sidang Parlimen dengan segera susulan kelonggaran sekatan pergerakan.

Beliau berkata, BN turut merayu Agong menggunakan kuasanya di bawah Ordinan Darurat untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan segera bagi membincangkan beberapa isu, termasuk mengkaji semula keberkesanan langkah membendung penularan Covid-19, pelaksanaan Belanjawan 2021, memulihkan ekonomi negara dan kestabilan politik.

Susulan kenyataan Zahid itu, rakan komponen BN, MCA dan MIC mendakwa BN tidak pernah menyokong sebarang keputusan merayu Agong menitahkan Parlimen bersidang dengan kadar segera.

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button