Politik

Bersatu Tangga Batu lumpuh, semua kepimpinan umum keluar parti

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tangga Batu lumpuh apabila 17 daripada 20 kepimpinan tertinggi termasuk ahli jawatankuasa bahagian mengumumkan perletakan jawatan dan keluar daripada parti itu berkuatkuasa hari ini.

Ketua Penerangannya, Mohd. Zainuddin Salehan berkata, mereka adalah antara 530 daripada 8,000 ahli parti itu yang turut mengambil keputusan yang sama untuk keluar daripada menjadi ahli juga berkuatkuasa serta merta.

Menurut beliau, keputusan yang diambil itu adalah mengikut jejak langkah bekas ketua bahagian, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen yang mengumumkan keluar daripada Bersatu pada 30 Oktober lalu.

Beliau berkata, keseluruhan bahagian itu lumpuh selepas semua kepimpinan tertinggi termasuk Timbalan Ketua Bahagian, Ketua Bersekutu, Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan 13 ahli jawatankuasa keluar daripada parti itu.

“Ini bermakna Bahagian Tangga Batu perlu menubuhkan satu jawatankuasa penaja yang baharu bagi menggantikan kami yang mengundur diri dan berhenti sebagai ahli Bersatu.

“Keputusan ini kami ambil selepas berbincang dan memikirkan secara mendalam yang akhirnya kami mengambil keputusan keluar daripada parti ini untuk mengikut Mohd. Rafiq.

“Kami dan rakan-rakan yang lain akan meneruskan perjuangan, kerja-kerja sukarelawan dan khidmat bakti menerusi platform badan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen Tangga Batu yang akan ditubuhkan oleh Mohd. Rafiq tidak lama lagi,” ujarnya dalam sidang akhbar di pejabat Bersatu Tangga Batu di sini hari ini.

Mohd. Rafiq yang juga bekas Naib Presiden Bersatu mengumumkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta merta selepas beliau tidak dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bertanding bagi Parlimen Tangga Batu walaupun telah enam tahun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.

Pada 5 November lalu, Bersatu Bahagian Jasin juga turut lumpuh apabila sebahagian besar kepemimpinan bahagian, cawangan dan Srikandi parti itu mengumumkan keluar parti, berkuat kuasa serta merta.

Mengulas lanjut Mohd. Zainuddin berkata, lebih ramai ahli parti di bahagian itu dijangka dalam masa terdekat ini akan turut mengikut jejak langkah keluar daripada Bersatu.

“Buat masa ini kami tidak akan terlibat dengan mana-mana parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebaliknya akan memberi fokus bergerak membantu rakyat melalui platform NGO,” ujarnya. – SM

(Visited 374 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button