Nasional

Inisiatif Menu Rahmah menarik minat sektor lain

INISIATIF ‘Menu Rahmah’ yang menawarkan makanan pada harga RM5 ke bawah turut menarik minat sektor lain termasuk penjagaan kesihatan untuk memberikan harga murah kepada mereka yang memerlukan khususnya B40.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata terdapat doktor perubatan yang mempunyai klinik sendiri berhasrat menawarkan pakej keluarga pada harga berpatutan untuk golongan B40 melalui ‘Klinik Rahmah’.

“Untuk melaksanakan ini, kita perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan,” katanya ketika hadir sebagai tetamu program Jendela Fikir Bernama Radio hari ini (9 Feb).

Beliau berkata kementeriannya juga telah bertemu dengan beberapa pengusaha restoran makanan segera untuk mendapatkan penyertaan mereka dalam inisiatif ‘Menu Rahmah’.

“Kami telah terlibat dengan beberapa restoran seperti McDonald’s dan Burger King dan hasilnya boleh dikatakan positif. Mungkin akan ada Burger Rahmah bernilai RM5 (di kedai-kedai ini),” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata inisiatif ‘Menu Rahmah’ yang bermula dengan nasi, ulam-ulaman dan sayur-sayuran telah diperluaskan merangkumi barangan makanan lain seperti mee serta ayam dan durian yang boleh dibeli dengan harga RM5.

Berdasarkan maklum balas majoriti peniaga yang menyediakan Menu Rahmah, beliau berkata, mereka masih mampu mengaut keuntungan.

Menu Rahmah itu dilancarkan 31 Jan lepas, disertai 15,000 premis jualan makanan dalam usaha membantu mengurangkan kos sara hidup khususnya golongan berpendapatan rendah.

Mengenai kos dan bekalan bahan mentah, Salahuddin berkata bekalan ayam dijangka mencukupi selepas musim tengkujuh berakhir, manakala bekalan telur kembali normal dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

“Pada masa ini, bagi mengatasi kekurangan telur ayam, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah mengimport telur ayam dari India,” katanya. -SM

(Visited 208 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button