Politik

Satu lagi pusingan pilihan raya umum, Anwar Ibrahim digantikan dalam PKR

DUA perkara yang mungkin menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ‘slow down’ dan melepaskan jawatan sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun katanya perkara ini akan direalisasikan selepas satu lagi pusingan pilihan raya umum.

Pertama, rakan-rakan seangkatannya dalam dunia politik sudah bersara dan menunjukkan tanda-tanda sebagai ‘pemanas bangku simpanan’ jika berada dalam pasukan bolasepak.

Kedua, kegagalan teruk PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu yang membuatkan pemimpin defacto itu terfikir untuk menyerahkan kerusi Presiden parti kepada muka atau pemimpin baharu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pemimpin defacto parti tersebut bagaimanapun akan memimpin PKR sekurang-kurangnya untuk satu lagi pusingan pilihan raya umum.

Beliau berkata, PKR mempunyai perancangan untuk mengetengahkan muka baharu dalam kepimpinan parti dan itu jelas kepada semua ahli.

Anwar sendiri membentangkan rancangan penggantian itu ketika pimpinan parti bermukim pada Februari lalu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Fahmi.

Beliau juga berkata, Anwar bukannya mahu jadi Presiden PKR selama-lamanya namun pada percaturan Fahmi, PKR mempunyai suatu misi dan agenda untuk dilaksanakan.

Jelas Fahmi, rancangan penggantian itu akan dilaksanakan “satu pusingan pilihan raya lagi”.

Fahmi bagaimanapun tidak berkongsi butiran rancangan itu termasuk siapakah yang akan mengambil alih kerusi Presiden.

Cuma kata Fahmi, Anwar tegas mahu ia diteruskan.

Sebenarnya, kata Fahmi, persaraan dan pemergian rakan seangkatan amat memberi kesan kepada Anwar termasuk adiknya, Rusli Ibrahim dan bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Siddiq Fadzil.

“Lim Kit Siang bersara, Tengku Razaleigh Hamzah bersara, Nazri Aziz juga kata beliau tidak mahu bertanding…jadi sudah tentu orang seangkatan akan terasa,” katanya.

Fahmi berkata, pada ketika ini Anwar masih ketua yang terbaik untuk memimpin PKR dan Pakatan Harapan (PH) menghadapi PRU akan datang.

Anwar minggu lepas mengekalkan jawatan sebagai Presiden PKR bagi penggal 2022-2024, kali kedua beliau menang tanpa bertanding sejak bebas dari penjara pada 2018.

Anak perempuannya, Nurul Izzah, pada Sabtu lalu pula meramalkan PH memerlukan dua pusingan PRU untuk kembali ke Putrajaya.

Susulan prestasi buruk PKR pada PRN Johor, ada yang berpendapat, PH perlu menggantikan Anwar jika mahu mengungguli PRU Ke-15 nanti.

Untuk rekod, pada PRN Johor 12 Mac lalu, PH terpaksa berpuas hati dengan 12 daripada 56 kerusi, dengan PKR menang hanya satu. – SM

(Visited 476 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button