Berita

Satu kematian akibat kes rabies di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu kematian kes rabies di kalangan manusia di Sarawak, yang telah disahkan positif pada 11 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa seorang warganegara lelaki berumur 45 tahun yang tinggal di sebuah rumah pekerja kilang papan di Stapang, Selangau, Sarawak.

“Dia telah dimasukkan ke wad Hospital Sibu pada 6 Mei 2021 disebabkan mengalami gejala demam, sakit kepala, sakit tekak, sakit semasa minum air dan hydrophobia.

“Mangsa mempunyai sejarah digigit sebanyak dua kali iaitu di bahagian betis dan dagu oleh dua ekor anjing berbeza milik rakan sekerjanya pada bulan Februari dan Mac 2021 di kawasan kilang papan tersebut.

“Namun, beliau tidak mencuci luka di bahagian betis dan dagu dengan air yang mengalir dan sabun selama 15 minit dan tidak pernah mendapatkan rawatan selepas digigit oleh anjing tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemilik berkenaan telah membunuh kedua-dua ekor anjing tersebut tetapi tidak menyerahkan bangkainya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk siasatan lanjut.

Pada 6 Mei 2021, kes telah dimasukkan ke wad Hospital Sibu untuk rawatan. Keadaan beliau semakin merosot dan berada dalam keadaan kritikal mulai 9 Mei 2021. Sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies telah diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 10 Mei 2021. Keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 11 Mei 2021. Kes telah meninggal dunia pada 12 Mei 2021 jam 1:24 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis.

Dengan pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah terkini kes rabies di kalangan manusia di Sarawak untuk tahun 2021 adalah empat (4).

Sejak wabak rabies diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di Sarawak, jumlah kes adalah 35 dengan 33 kematian. Terdapat dua (2) kes kanak-kanak yang masih hidup namun dengan komplikasi neurologi yang teruk.

Apabila jangkitan virus rabies yang berlaku melalui luka gigitan haiwan tidak diambil tindakan rawatan segera, ia boleh menyebabkan kematian sekiranya jangkitan tersebut merebak ke otak. Justeru, KKM ingin menasihati orang awam khususnya di Sarawak agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan virus rabies; iaitu:

  1. Sekiranya digigit atau dicakar atau terkena air liur haiwan, luka mesti dicuci menggunakan air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit;
  2. Segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat;
  3. Pastikan vaksin anti-rabies LENGKAP diterima mengikut temujanji yang diberikan oleh pengamal perubatan, walaupun ketika dilaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 ini; dan
  4. Tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar.

Bagi orang awam khususnya di Sarawak yang mempunyai haiwan peliharaan, dinasihatkan agar mengikuti langkah-langkah berikut:

  1. Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan (hygiene) diri yang optima seperti amalan cuci tangan menggunakan air mengalir dan sabun selepas mengendalikan haiwan peliharaan;
  2. Pastikan haiwan peliharaan terutamanya anjing dibawa untuk suntikan anti-rabies setiap tahun agar dilindungi daripada jangkitan virus rabies;
  3. Tidak melepaskan haiwan peliharaan bebas berkeliaran untuk mengelakkan risiko dijangkiti rabies oleh anjing liar atau kucing liar atau haiwan mamalia liar lain;
  4. Sekiranya haiwan peliharaan berubah tingkahlaku termasuk menjadi agresif atau muram, jangan cuba menangkap atau menyentuh atau membunuh haiwan tersebut;
  5. Laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhampiran untuk tindakan lanjut haiwan tersebut;
  6. Kemungkinan anjing liar dijangkiti virus rabies amat tinggi di kawasan wabak rabies. Justeru, laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  7. Kawalan populasi haiwan peliharaan amat digalakkan dan dapatkan nasihat daripada doktor veterinar Kerajaan atau swasta berhampiran untuk nasihat lanjut.

Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus berusaha dan memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dalam kalangan penduduk dilaksanakan; seperti rawatan kes, pemberian vaksin anti-rabies dan immunoglobulin kepada individu yang disyaki dijangkiti virus rabies berdasarkan penilaian risiko serta komunikasi risiko.

Namun begitu, kerjasama rakyat Sarawak dimohon agar mematuhi semua nasihat serta arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan dan Pihak Berkuasa bagi memastikan wabak rabies di Sarawak ini dapat dibasmikan.

Ilustrasi oleh Kementeri Kesihatan
(Visited 134 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button