Rencah Hidup

Sasuke Outlet X Syria Care gerakkan Kempen Warm Their Winter bantu pelarian di musim sejuk

SETIAP kali tiba musim sejuk, tidak dapat dibayangkan kanak-kanak, golongan wanita dan warga emas menggigil menahan kesejukan yang menggigit sehingga ke tulang hitam disebabkan tiada baju panas atau baju sejuk untuk dipakai.

Ada dalam kalangan penduduk di Syria yang mati kesejukan kerana suhu musim sejuk jatuh sehingga ke tahap negatif. Musim sejuk melampau turut melanda penduduk yang negaranya bergolak dan dizalimi tentera zionis.

Bagi membantu penduduk Syria yang berhadapan dengan musim sejuk, butik jualan baju-baju bundle iaitu Sasuke Outlet X Syria Care atas dasar perikemanusiaan, melancarkan Kempen Warm Their Winter .

Mungkin tidak terlintas untuk sambil menyelam, sambil minum air tetapi kaedah menggerakkan Kempen Warm Their Winter ialah cara membuat pembelian di outlet Sasuke bertempat di Danau Kota, Seksyen 9, Bangi dan Bandar  Kajang, Selangor.

Kempen telahpun bermula pada 2 Oktober, baru-baru ini dan berakhir lusa, 8 Oktober.

Selain membuat pembelian di Sasuke Outlet, pihak penganjur juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk kelengkapan pakaian musim sejuk.

Pengarah NCT Supply & Trading Sdn Bhd, Nurul Suhaida Abu Sopian dalam satu kenyataannya berkata, dalam usaha menjayakan Kempen Warm Their Winter, Sasuke Outlet turut mengadakan promosi beli satu percuma satu yang dibuka khas kepada pelanggan yang menyertai kempen ini.

“Kempen kali ini lebih istimewa kerana pelanggan dapat memilih sendiri pakaian yang ingin disumbangkan kepada penerima.

“Oleh itu, Sasuke Outlet berbesar hati untuk menyertai misi kemanusiaan kerana kami ada kelengkapan musim sejuk yang diperlukan di Syria dan platform untuk menjadi hub perhubungan antara masyarakat dan Syria Care,” ujar beliau.

Beliau berkata, antara cawangan yang boleh dikunjungi orang ramai untuk sama-sama membantu menjayakan Kempen Warm Their Winter ialah outlet di Danau Kota, Kajang dan Bangi selain daripada membuat pembelian melalui dalam talian (online).

PAKAIAN musim sejuk amat diperlukan oleh pelarian Syria yang tinggal di khemah-khemah daif dan serba kekurangan.

Setakat ini, katanya, mereka telah menerima 70 helai pakaian musim sejuk.

Beliau juga berkata, program membeli dan beramal  itu lebih istimewa kerana pelanggan akan memilih sendiri pakaian yang disukai.

“Kemudian pakaian itu akan disumbangkan kepada pihak kempen.

“Kami juga menyediakan sebuah kad ucapan untuk dikirimkan kepada penerima supaya dapat mengubat sedikit kesedihan mereka,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Strategik Syria Care, Nurdieana Mohd Mardzi menceritakan pengalamannya ketika berada di kem pelarian Syria Care di Syria.

“Alhamdulillah setakat ini, rakyat Malaysia sangat memahami dan mengambil berat tentang pakaian untuk disumbangkan mengikut kesesuaian rakyat Syria yang menjadi pelarian,” katanya.

Mengimbas kembali pengalamannya berada di Syria, Nurdieana berkata, pelarian Syria rata-rata tinggal dalam khemah yang sangat daif.

“Ada kalanya, mereka berhadapan dengan tanda-tanda awal musim sejuk akan tiba seperti hujan, banjir dan ribut.

“Selalunya khemah yang mereka duduki akan runtuh kerana tidak mampu bertahan dalam cuaca yang buruk,” ujar beliau.

Kata Nurdieana lagi, sewaktu salji turun, suhu berada pada bawah paras beku seperti di bawah 10 darjah selsius.

“Sedangkan kami yang berpakaian lengkap untuk musim sejuk pun terasa kedinginannya, dapat tak anda bayangkan keadaan kanak-kanak di khemah-khemah pelarian yang memakai baju nipis dan berkaki ayam.

“Keadaan mereka sangat menyedihkan dan kami mohon ihsan daripada Keluarga Malaysia agar sama-sama membantu meringankan beban kehidupan pelarian Syria ” katanya. – SM

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button