Nasional

Sasaran setengah juta peluang pekerjaan berjaya dicapai – PM

SASARAN untuk memberi pekerjaan kepada setengah juta penduduk berjaya dicapai pada 3 Disember lalu selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari.

Malah, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jumlah yang mendapat pekerjaan melebihi daripada sasaran iaitu 500,257 seperti yang dilaporkan oleh Majlis Pekerjaan Negara (NEC).

Ismail Sabri berkata, kejayaan tersebut lebih bermakna kerana pasaran buruh menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan COVID-19 sejak Mac tahun lalu sehingga pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Perkembangan ini sekaligus dapat memperkasakan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia terutama kumpulan asnaf, B40 dan M40.

“Inisiatif ini amat penting selepas pelbagai sektor ekonomi dibuka, kerajaan memastikan mereka yang kehilangan pekerjaan dapat memulihkan penjanaan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia.


“Saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada kesemua Kementerian, Agensi Kerajaan dan GLC yang telah sama menyumbang kepada kejayaan penciptaan pekerjaan yang melangkaui sasaran pada tahun 2021,” katanya.

Antara inisiatif utama yang telah menyumbang kepada pencapaian kejayaan tersebut adalah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP).

Menurut Ismail Sabri, PenjanaKerjaya 2.0 berjaya menempatkan seramai 221,966 orang pekerja melangkaui sasaran keseluruhan 200,000 ribu peluang pekerjaan bagi tahun ini.

PenjanaKerjaya dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyediakan insentif penggajian sehingga 60 peratus daripada gaji bulanan kepada majikan serta program latihan kemahiran tinggi atau sijil profesional kepada pekerja sehingga RM7,000.

MySTEP yang merupakan inisiatif kerajaan dengan nilai RM700 juta telah berjaya melangkaui sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan bagi tahun ini dengan menempatkan seramai 61,328 orang pekerja secara
kontrak selama sekurang-kurangnya enam bulan di pelbagai Kementerian dan Agensi Kerajaan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Ismail Sabri berkata, seramai 41,680 orang pekerja telah berjaya ditempatkan di sektor awam manakala 19,648 orang pekerja pula ditempatkan di GLC dan rakan-rakan strategik.

Selain dari PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP, Kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 123,312 pekerjaan baharu melalui pelaburan baharu dalam negara dan 74.2 peratus daripadanya dalam kategori mahir dan separuh mahir.

Melangkah ke hadapan Kerajaan di bawah inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) akan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion pada tahun hadapan melalui Bajet 2022.

Ismail Sabri berkata, Kerajaan yakin strategi NEC dapat meneruskan momentum penciptaan pekerjaan selaras dengan pemulihan dan pembukaan pelbagai sektor-sektor ekonomi.

Seterusnya, NEC juga akan berusaha menangani isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta isu berkaitan penggajian.-SM

(Visited 41 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button