Haiwan

APM halau lebah bersarang dalam topi keledar

MELAKA 6 Februari – Bidang tugas Angkatan Pertahanan Awam (APM) mempunyai skop lebih luas dan pelbagai daripada menangkap ular hingga menyelamatkan kucing terperangkap atas pokok.

Malah ada kerja-kerja menyelamat seperti tidak masuk akal dan unik sanggup diredah oleh APM demi memberi bantuan dan menyelamatkan bukan sahaja kepada manusia tetapi juga haiwan.

Semalam di Alor Gajah, APM berdepan kejadian sangat unik apabila topi kledar milik seorang pekerja sebuah kilang terdapat sekumpulan lebah bersarang di dalamnya.

 

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam Daerah
(PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengawal keselamatan kilang berkenaan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 petang itu, pekerja terbabit hendak pulang ke rumah selepas habis waktu bekerja.

Beliau berkata, pekerja itu terkejut apabila mendapati topi keledarnya dipenuhi lebah yang bersarang di dalamnya.

“Seramai 4 anggota APM dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba kira-kira 12 minit selepas menerima aduan daripada pengawal keselamatan kilang tersebut.

“Anggota saya sendiri terkejut melihat bagaimana lebah boleh bersarang di dalam topi keledar di tempat parkir motosikal kilang terbabit.

“Kejadian ini jarang-jarang berlaku dan kebiasaannya kami membakar sarang lebah atau tebuan di atas pokok selain di rumah penduduk. Ini kejadian pertama kita hadapi lebah bersarang dalam topi keledar,” ujarnya di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, bertindak daripada itu, anggotanya berjaya membawa topi keledar itu ke kawasan selamat sebelum membakar kertas dengan tujuan untuk menghalau lebah tersebut.

Menurutnya, operasi tersebut berjalan lancar dan selesai kira-kira pukul 5.15 petang.

(Visited 315 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button