BeritaNasionalPendidikan

Undi 18 – UniMAP siap susun program untuk pelajar

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) menyusun lapan program pendidikan pengundi untuk pelajarnya di sepanjang tahun ini sebagai menyokong inisiatif Undi 18.

Naib Canselornya, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, antara program yang telah dilaksanakan sejak awal tahun adalah menubuhkan Sekretariat Undi 18 (SU18) UniMAP dengan kerjasama Sekretariat Rukun Negara (SRN) UniMAP.

“SU18 berperanan untuk merancang dan melaksana aktiviti kesedaran berkaitan Undi 18 yang telah dilaksanakan,” katanya.

Zaliman berkata, UniMAP mengambil pendekatan dengan merangka pelbagai program bagi memberikan pendedahan dan kefahaman kepada para pelajar tentang sistem demokrasi, pilihan raya dan senario politik negara.

“Ini selaras dengan amanat Menteri Pengajian Tinggi  Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang mahu dilaksanakan sesi libat urus bagi mendengar idea, pandangan dan memberi kesedaran terutamanya berkaitan literasi politik berhubung Undi18 kepada pelajar-pelajar Institut Pendidikan Tinggi (IPT),” katanya.

Katanya, program terbaharu yang diadakan adalah Wacana Minda UniMAP Siri 4; Bicara Anak Muda Undi 18 Bersama Pelajar Baharu Diploma yang bertujuan memberi kesedaran kepada mahasiswa UniMAP ambilan Diploma tentang pelaksanaan Undi 18 dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam meraikan demokrasi berperlembagaan di negara ini.

Tambah beliau, selain itu diadakan Bengkel Persidangan Mahasiswa UniMAP (Persima), Seminar Kepimpinan Altruistik Undi 18, Program Kembara Mahasiswa Negeri Perak, dan Sembang Santai Undi 18 Bersama Mahasiswa Anak Kelantan di universiti berkenaan.

“Kami akan memberi kesedaran kepada mahasiswa UniMAP ambilan Ijazah Sarjana Muda yang bakal diadakan Oktober ini menerusi Wacana Minda UniMAP; Bicara Anak Muda Undi 18 Bersama Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda,” katanya.

Jelas Zaliman, UniMAP sentiasa mengambil langkah proaktif bagi melahirkan siswa-siswi yang prihatin terhadap sistem pemerintahan negara berdemokratik.

Dimaklumkan UniMAP antara Universiti Awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti yang menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi Akademi Pilihan Raya (APR) dengan disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang diadakan di KPT semalam.

Pada majlis itu, UniMAP diwakili Zaliman manakala APR diwakili Pengarahnya, Hasanul Isyraf Naim selain UA yang lain diwakili Naib Canselor dan Rektor masing-masing.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan berkata, usaha MoU SPR dan KPT ini merupakan salah satu langkah yang terbaik daripada KPT dalam memupuk minat mahasiswa untuk lebih cakna dengan perkembangan politik semasa di negara ini.

“Ia selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang telah membenarkan mahasiswa untuk terlibat dengan aktiviti politik di dalam dan di luar kampus,” katanya.

Beliau berkata, UA perlu bergerak lebih proaktif dalam memberi kesedaran kepada mahasiswa di kampus tentang kepentingan turun mengundi dan sebagainya.

Katanya, ini kerana undi 18 bakal dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  akan datang. – SM

(Visited 270 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button