Nasional

MMU dan KLFA Meterai MoU Tingkat Bakat Bolasepak

UNIVERSITI Multimedia (MMU) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk meningkatkan lagi bakat bola sepak dalam kalangan pelajar MMU.

Ini merupakan kali pertama MMU memeterai MoU dengan persatuan bola sepak, yang mana ia bakal mengukuhkan pembangunan pelajar dalam sukan serta memberi peluang kepada pemain KLFA untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di MMU. MoU itu ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud, Presiden MMU, dan Tuan Syed Yazid Syed Omar, Naib Presiden KLFA di kampus MMU Cyberjaya.

Sambil melahirkan rasa gembira dengan kerjasama itu, Prof. Mazliham menyifatkan ia sebagai satu lonjakkan yang besar untuk pembangunan sukan di MMU dan boleh meningkatkan tahap kemahiran pemain-pemain MMU bagi Liga Bola Sepak IPT anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Saya amat berbesar hati dengan kesediaan KLFA dalam membina hubungan kerjasama ini.” Beliau berkata, “Adalah menjadi harapan kami agar pemain bola sepak MMU mendapat latihan intensif yang membantu kami muncul sebagai universiti swasta pertama yang menjuarai Liga Bola Sepak IPT,” katanya pada majlis menandatangani MoU tersebut.

Perjanjian itu juga akan membolehkan para pemain KLFA mendapat akses ke pendidikan tinggi dalam pelbagai program di MMU. Dengan kelayakan akademik, mereka boleh mendapat peluang kerjaya yang cerah jika mereka ingin menceburi bidang lain pada masa hadapan.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada KLFA atas kerjasama itu, Prof. Mazliham berkata, ketika ini terdapat dua pelajar MMU yang bermain untuk Piala Belia Bandaraya KL dan tiga lagi pelajar dipilih untuk beraksi dalam Piala Presiden Bandaraya KL.

Pasukan bola sepak MMU memperoleh kedudukan keenam dalam Liga Bola Sepak IPT Divisyen 1 dari Oktober 2022 hingga Februari 2023. Ia adalah suatu peningkatan yang baik berbanding ranking tahun lalu di mana pasukan MMU berada di tangga kesembilan liga itu.

Sementara itu, Tuan Syed Yazid berkata, MoU itu merintis kerjasama dalam usaha membangunkan bakat-bakat baharu untuk bidang bolasepak di IPT dan juga di peringkat tanahair pada masa depan. “Kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak sama ada dalam pembangunan pelajar mahupun kemajuan sukan negara,” tambahnya.

Menurutnya, pihak KLFA berbesar hati ingin berkongsi kepakaran terutamanya dari sudut kejurulatihan, kecergasan, fisioterapi, dan taktikal permainan bagi membantu pasukan MMU menjuarai sesuatu kejohanan bola sepak.

Turut hadir pada majlis menandatangani perjanjian itu ialah Prof. Dr. Wong Eng Kiong, Naib Presiden Pengalaman Pelajar, Keusahawanan dan Pembangunan (SEED) MMU dan Encik Nokman Mustaffa, Setiausaha KLFA. – SM

Baca : Anwar hadiri makan malam bersama pempengaruh Indonesia dan Malaysia

(Visited 38 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button