Alam SekitarEkonomi

Sarawak mahukan kepakaran Korea Selatan bangun industri hijau

SARAWAK sedang melihat ke arah kepakaran Korea Selatan untuk membangunkan industri hijau di negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Khamis (9 Jun).

Menurutnya, Sarawak dan republik tersebut boleh menerokai bersama potensi negeri tersebut sebagai wilayah untuk Perolehan, Penggunaan dan Simpanan Karbon (CCUS), serta dalam pengeluaran bahan api penerbangan alternatif seperti Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

“Walaupun Sarawak adalah negeri dalam sebuah negara kecil, kami memiliki sumber semula jadi. Kami perlukan teknologi dan kepakaran untuk menambah nilai sumber kami dan menyumbang kepada keperluan dunia bagi alam sekitar yang hijau,” katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan Tenaga Sarawak-Korea di Kuching, Sarawak semalam.

Pada majlis itu yang turut dihadiri Duta Korea Selatan ke Malaysia, Lee Chi Beom, Abang Johari berkata CCUS boleh mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara dalam laluan kepada pelepasan karbon sifar-bersih.

“Di Sarawak, kami baru-baru ini telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022, yang memberi kami kedudukan yang lebih baik untuk membangunkan CCUS sebagai teknologi mitigasi yang berkuasa bagi mencapai ekonomi rendah karbon,” katanya.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Abang Johari berkata Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sarawak (SEDC) juga bekerjasama dengan Airbus dan Rolls Royce melalui Pusat Inovasi Aerospace Malaysia (AMIC) untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan mengenai hidrogen hijau dan sel bahan api sebagai bahan api penerbangan masa depan.

Beliau berkata projek perintis ini datang sebagai satu langkah ke hadapan bagi Sarawak untuk menghasilkan bahan api penerbangan alternatif seperti SAF, yang boleh menjadi kunci kepada perjalanan udara yang mampan dalam peralihan untuk bahan api rendah karbon dan untuk menyahkarbonkan industri penerbangan.

“Saya percaya ada peluang besar bagi Sarawak dan Korea Selatan ke arah pembangunan SAF pada masa depan yang boleh memberi manfaat  tambahan kepada ekonomi, alam sekitar dan sosial,” katanya.

Premier Sarawak itu berkata negeri tersebut dan Korea Selatan telah menjalin hubungan yang baik sejak 1970-an dan negara tersebut merupakan pengimport ketiga terbesar Sarawak bagi gas asli cecair (LNG) selepas Jepun dan China, melibatkan 4.9 juta tan metrik pada 2020 dengan nilai RM5.9 bilion.

Hubungan perniagaan ini juga menyaksikan Sarawak menganugerahkan kontrak AS$1.07 bilion kepada Samsung Engineering Co Ltd Korea Selatan untuk menyediakan perkhidmatan pelesenan, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian projek metanol Sarawak di Tanjung Kidurong di Bintulu.

“Saya gembira Sarawak dan Korea Selatan berada di halaman yang sama, di mana negara mereka berusaha untuk mengurangkan pergantungan kepada arang batu dan nuklear dalam penjanaan kuasa. Sarawak, sebagai wilayah yang kaya dengan sumber, berazam untuk memanfaatkan sumber boleh diperbaharui untuk menggerakkan pelbagai aktiviti di Sarawak,” tambahnya. – SM

Baca artikel ini > Sarawak akan kongsi pengalaman dalam meneroka ekonomi baharu

(Visited 353 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button