Alam SekitarBanjirNasional

Jumaat ini tarikh akhir hantar bantuan pascabanjir di Pahang

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Pahang hari ini memutuskan tarikh akhir penghantaran bantuan pascabanjir ke negeri itu yang dimohon menerusi sistem ebanjir.pahang.gov.my ialah pada Jumaat ini.

Jawatankuasa itu dalam satu kenyataannya hari ini memaklumkan, keputusan tersebut dibuat berdasarkan situasi terkini yang menyaksikan wujud kluster baharu berpunca daripada sukarelawan bantuan pascabanjir dan di tempat kerja.

“Kerajaan negeri juga akan menguatkuasakan had perjalanan 10 kilometer sahaja dari kediaman seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta-merta bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” maklum kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan negeri sebelum ini mensyaratkan mereka yang hendak menghantar bantuan pascabanjir di Pahang perlu mendapatkan kebenaran melalui sistem e-banjir selain wajib memperoleh permit rentas daerah daripada polis.

Bagaimanapun penghantaran barangan itu terhad di pusat pengumpulan yang diwujudkan di sempadan negeri iaitu Bentong, Rompin dan Kuantan dengan pengagihan akan dilakukan oleh pusat kawalan operasi bencana (PKOB) negeri dan daerah, katanya.

Selain itu, dalam kenyataan yang sama, turut dimaklumkan kerajaan negeri juga mensyaratkan hanya sukarelawan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari dalam Pahang boleh menyertai aktiviti gotong-royong pascabanjir, terhad kepada terma yang ditetapkan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, jawatankuasa  itu berkata, semua urusan kaunter perkhidmatan pejabat persekutuan dan negeri yang melibatkan orang awam ditangguhkan mulai esok (2 Februari) sehingga 14 Februari dan orang ramai digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian.

Selain itu, kehadiran kakitangan jabatan kerajaan negeri tertakluk kepada arahan Setiausaha Kerajaan Pahang manakala kakitangan Jabatan Persekutuan pula tertakluk kepada arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

“Keutamaan kehadiran di pejabat ialah kakitangan yang terlibat dalam perkhidmatan perlu yang ditentukan oleh ketua jabatan manakala kakitangan lain akan bekerja dari rumah.

“Bagi pihak swasta yang disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu, pengoperasian tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) oleh MKN iaitu hanya melibatkan 30 peratus kehadiran bagi pihak pengurusan,” demikian menurut kenyataan itu. –  SM

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button