Rencah Hidup

Program Usrah Ibarat Menu Bagi Santapan Rohani – Srikandi Muda Bersatu Malaysia

Program ukhwah serta keagamaan seperti usrah ibarat satu menu yang cukup istimewa untuk santapan rohani, lebih-lebih lagi ketika umat Islam menjalani ibadah puasa.

Bagi Srikandi Muda Bersatu Malaysia, usrah memiliki elemen tarbiyah kepada individu dan menerusinya, umat Islam dapat menikmati kelazatan rukun Islam, rukun iman serta rukun ihsan.

40 Ahli Srikandi Muda Bersatu Malaysia Hadir Ke Sesi Usrah

Ketuanya, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, atas dasar keperluan itu, satu sesi usrah bertajuk ‘Ramadhan Kali Ini Untuk Aku Jadi Lebih Baik’ telah berjaya diadakan.

“Bagi menjayakan perancangan usrah ini, Dr. Sahlawati Abu Bakar dari KUIS – UIS (Universiti Islam Selangor) dijemput dan seramai 40 ahli Srikandi Muda Bersatu dari pelbagai negeri telah hadir untuk mengambil ibrahnya.

“Selesai usrah, program diteruskan dengan acara berbuka puasa beramai-ramai sekali gus meraikan ukhwah yang terjalin antara ahli-ahli Srikandi Muda Bersatu Malaysia,” katanya.

Nurul Fadzillah berkata demikian kepada Suara Merdeka dalam satu pertemuan berbuka puasa di ATSKY Worldwide, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Naib Ketua sayap tersebut, Hafrina Rohayu; Ketua Penerangan, Eryn Othman; Penolong Setiausaha, Hasmida Mustapha serta barisan kepimpinan tertinggi.

Membangkitkan Kekuatan Sisterhood

Ujar Nurul Fadzilah, Srikandi Muda Bersatu Malaysia akan terus mengorak langkah bertemu akar-umbi dalam beberapa siri jelajah negeri yang telah disusun bagi membangkitkan kekuatan sisterhood.

“Misalnya selepas program hari ini, InsyaAllah kami akan ke negeri-negeri utara bagi siri jelalah Ramadan sekali gus menyantuni rakyat di sana dengan aktiviti berbuka puasa dan sebagainya.

“Usaha ini adalah satu keperluan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan Srikandi Muda Bersatu Malaysia terus relevan terutamanya dalam mengumpul inspirasi wanita untuk misi yang lebih besar,” katanya.

Pernah Digelar Pejuang Pasar Malam

Bercakap tentang relevan, Nurul Fadzillah menganggap biar pun beliau bukanlah Ahli Parlimen Setiawangsa, tiada salahnya untuk berbakti kepada rakyat di sekitar kawasan tersebut.

“Salah satu sebabnya, ramai orang di sana mencari tempat untuk berteduh dan mengadu nasib termasuk berkait isu pasar malam di Pasar Malam AU2 Keramat yang dipindahkan lokasinya.

“Ada pemimpin tertinggi dalam kalangan Perikatan Nasional secara bergurau menggelarkan saya sebagai pejuang pasar malam namun saya tiada masalah mengenainya asalkan dapat turun kelapangan,” ujarnya.

Bagi Nurul Fadzillah, menjadi seseorang pemimpin bukan hanya tertakluk kepada jawatan yang disandang sebaliknya bagaimana seseorang itu merendah diri dan menjadi pendengar tanda prihatin kepada rakyat. – SM

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button