Bola SepakNegeriSukan

Sanusi buat keputusan tepat selamatkan bola Kedah

TUGAS Menteri Besar, bukan hanya menguruskan pentadbiran negeri, lebih besar daripada itu memastikan kesejahteraan dan keharmonian negeri.

Perkara yang terlalu besar bagi orang Kedah ialah bola sepak. Bola sepak sangat dekat dengan orang Kedah, jadi tidak hairanlah Menteri Besar yang berjaya menjulang nama pasukan Hijau Kuning dia sangat disenangi rakyat.

Bola sepak juga merupakan cara paling mudah untuk menteri besar menjalinkan sentuhan peribadi dengan rakyat selain aktiviti politik dan ekonomi.

Justeru tindakan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menarik balik hasratnya untuk meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini, sangat dialu-alukan.

Keputusan itu dibuat kerana beliau sedar kepentingan peranan Menteri Besar dalam pembangunan sukan bola sepak di Kedah.

Katanya, keputusan itu juga dibuat memandangkan sukan bola sepak negara akan menghadapi senario baharu pada musim akan datang apabila berlakunya pemisahan antara persatuan (FA) dan kelab (FC).

Baru-baru ini, KFA memilih nama Darulaman FC (DFC) bagi pasukan Kedah selaras dengan proses penswastaan pasukan tersebut.

“Ada orang cakap pada sesi depan FA tak ada dah.., (tetapi sebenarnya) masih ada lagi FA. Pihak saya melalui Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) sudah bersetuju untuk membeli 80 peratus saham dalam Darulaman FC, manakala 20 peratus lagi akan dimiliki oleh KFA.

“MBI kini sedang berunding dengan beberapa pihak untuk menubuhkan konsortium dan 80 peratus itu akan dikongsi dalam kalangan (peserta) konsortium itu,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi menerusi hantaran di laman Facebook miliknya pada 1 Oktober lalu, menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden KFA dan akan menyerahkan urusan pengendalian bola sepak kepada pihak yang lebih layak untuk memajukan sukan itu di negeri ini.

Surat peletakan jawatan yang menyatakan bahawa beliau akan menamatkan perkhidmatan pada 15 Oktober lalu, bagaimanapun ditolak oleh KFA.

Dalam pada itu, mengenai pemilihan logo baharu KFA, Muhammad Sanusi berkata ia akan dibuat secara pertandingan terbuka dan orang ramai terutamanya peminat bola sepak Kedah dialu-alukan untuk menyertainya.

“Untuk maklumat lanjut boleh rujuk kepada laman Facebook rasmi KFA. Pelbagai hadiah menarik ditawarkan termasuk wang tunai RM5,000 untuk pemenang utama,” katanya.

(Visited 455 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button