Rencana

Sanggupkah pemimpin UMNO sokong Anwar sebagai PM?

HARI ini Majlis Presiden Pakatan Harapan menjemput semua ahli Parlimen yang menentang Tan Sri Mahyuddin Mohd. Yassin untuk bersama menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri

Jemputan itu juga untuk membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen sekaligus menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin.

Rupanya terdapat satu masalah dalam menjatuhkan kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri walaupun ada pihak mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu telah kehilangan majoriti.

Masalahnya, pihak yang menentang Muhyiddin tidak mempunyai kesepakatan untuk mencalonkan individu yang boleh mengambil alih negara sebagai perdana menteri.

Mungkin disebabkan itu Muhyiddin masih menjadi perdana menteri walaupun terdapat segelintir ahli Parlimen UMNO yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional sejak 10 hari lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini membuktikan tidak terdapat kesepakatan dalam kalangan penentang Muhyiddin terhadap calon yang boleh diletakkan sebagai perdana menteri.

“Demi masa depan rakyat dan negara, semua pihak yang menentang Tan Sri Mahiaddin perlu bersama di meja rundingan sekarang untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif di mana setiap parti dilayani secara adil.

“Oleh itu, amatlah penting semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah Kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional menjelang undi percaya terhadap Perdana Menteri nanti.

“Ini supaya sebarang pengambil alihan Kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip-prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir yang baik, dan institusi kehakiman yang bebas,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Kenyataan itu dibuat secara bersama-sama oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng,

Satu-satunya cara untuk Anwar menjadi perdana menteri hanyalah dengan sokongan daripada berbelas ahli Parlimen UMNO yang telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Persoalannya sanggupkah separuh pemimpin UMNO yang meninggalkan Perikatan Nasional itu untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri yang baharu?

Sanggupkah mereka mengkhianati amanat perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 bulan Mac lalu agar kepimpinan UMNO mengekalkan dasar ‘No Anwar, No DAP’?

Persoalan paling besar, sanggupkah mereka bekerjasama dalam satu kerajaan dengan DAP yang telah dimomok-momok dengan pelbagai gelaran sebelum ini?

Adakah slogan ‘No Anwar, no DAP’ akan bertukar ke ‘Yes Anwar, yes DAP’? Hanya masa yang akan menentukan…-SM

 

 

 

 

(Visited 234 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button