Agama

Sanggup Menunggu Lama Bukti Rakyat Rindu Masjid – Persatuan Ulama Malaysia

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyambut baik langkah yang diambil oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad untuk menyemak kembali dan membuat ketetapan baharu mengenai prosedur operasi standard (SOP) masjid dan surau termasuk soal bilangan dan kehadiran Jemaah.

Ini berdasarkan kepada permintaan yang dikeluarkan kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menyemak kembali dan membuat ketetapan baharu selaras dengan perkembangan semasa peralihan fasa yang diumumkan pihak kerajaan berasaskan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Yang Dipertua PUM, Datuk Al-Sheikh Abdul Halim Abd. Kadir berkata, semakan semula ini amatlah wajar kerana terdapat beberapa isu yang berlaku di mana rakyat amat merindui kesempatan untuk hadir solat di masjid dan surau yang ada.

Kata kenyataan itu, kejadian yang tular pada hari Jumaat kelmarin menunjukkan betapa ada rakyat yang sanggup menunggu untuk melaksanakan kewajipan solat di masjid.

“Kami sedar bahawa peraturan sedia ada perlu di hormati oleh semua pihak termasuklah had jumlah bilangan tertentu sahaja dibenarkan ke masjid, jemaah perlu melalui proses pendaftaran dan sebagainya, kerana peraturan tersebut telah diperkenankan oleh KDYMM Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama di peringkat persekutuan dan KDYMM Raja-Raja Melayu yang mengetuai urusan hal ehwal agama negeri-negeri.


“Oleh kerana urusan agama adalah tertakluk kepada KDYMM Yang Di-Pertuan Agong dan KDYMM Raja-Raja Melayu, maka rakyat mestilah memahami keadaan ini di mana baginda begitu prihatin soal keselamatan dan kesihatan rakyat. Perkenan daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku adalah diperlukan dalam sebarang perubahan SOP berkaitan agama,” katanya dalam kenyataan itu.

PUM berkata demikian mengulas isu jemaah yang tidak mendapat panggilan untuk solat di masjid atau tidak dibenarkan masuk kerana had bilangan yang ditetapkan telah mencukupi, sewajarnya melakukan solat di tempat masing-masing.

“Mereka yang tidak dapat solat Jumaat itu tidaklah dianggap berdosa di atas tindakan tersebut kerana kewajipan pihak berkuasa untuk mencegah penularan covid-19 adalah lebih utama. Tindakan pengawalan ini termasuk di dalam Maqasid Syariah, iaitu Hifz al-Nafs (menjaga nyawa).

“Walaubagaimana pun, cadangan daripada YB Menteri Agama untuk berbincang bersama Sahibus Samahah Mufti-Mufti amatlah tepat sekali bagi mencapai kata sepakat yang boleh dipersembahkan kepada KDYMM Sultan negeri-negeri selaku Ketua Agama bagi negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan itu.

Inisiatif untuk berbincang dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sesuatu yang perlu dilakukan segera bagi mendapatkan persetujuan SOP baharu masjid dan surau, sebelum ia dipersembahkan kepada KDYMM Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi mendapat perkenan baginda semua.

“Apa yang menarik perhatian kami adalah kesediaan pihak kerajaan untuk mencadangkan agar surau-surau di beberapa lokasi seperti di pejabat atau di taman-taman perumahan dapat diberikan kelulusan sementara bagi melakukan solat Jumaat berdasarkan SOP yang ditetapkan.

“Ini pasti akan memberi ruang yang lebih kepada rakyat untuk melaksanakan kewajipan Solat Jumaat dalam suasanya pandemik ini,” katanya.

Berdasarkan SOP baru yang bakal diperkenalkan nanti, PUM percaya bahawa usaha ini akan dapat memberikan impak terutama dari aspek kesejahteraan psiko-spiritual rakyat yang sangat memerlukan kekuatan rohani buat masa ini setelah sekian lama terhalang untuk melakukan ibadah di masjid dan surau.

(Visited 32 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button