Hiburan

Sambutan Luar Biasa, Konsert Inteam Dipindah ke Venue Lebih Besar

SAMBUTAN luar biasa terhadap Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun oleh kumpulan nasyid tersohor tanah air, Inteam, telah mendorong pihak penganjur untuk memindahkan lokasi konsert ke IdeaLive, Petaling Jaya, sebuah dewan moden yang mampu menampung sehingga 5,000 penonton.

Sehubungan itu, tarikh asal konsert yang dijadualkan pada 27 September 2025 turut dianjak kepada 28 September 2025 berikutan kekosongan tarikh di lokasi baharu.

Tiket Laris 2 Jam! Inteam Pindah Konsert ke Venue Lebih Besar

Dalam satu sidang media yang diadakan hari ini, wakil Inteam meluahkan rasa syukur dan terharu apabila tiket konsert di lokasi asal habis terjual dalam tempoh dua jam selepas pelancarannya. Jelasnya, sokongan padu peminat membuktikan bahawa nasyid kekal relevan dan mendapat tempat di hati masyarakat walaupun selepas lebih dua dekad Inteam berkarya.

“Kami sendiri tidak menyangka sambutan akan sehebat ini. Ramai peminat mencadangkan agar kami menambah malam kedua atau mencari lokasi yang lebih besar. Maka kami sepakat memilih IdeaLive sebagai lokasi baharu,” kata jurucakap Inteam.

Bagi pemegang tiket terdahulu, mereka tidak perlu gusar kerana tempat duduk akan dinaik taraf secara automatik ke zon hadapan berdasarkan kategori pembelian masing-masing. Urusetia juga akan menghubungi mereka untuk proses pengesahan tempat duduk serta makluman pertukaran tarikh. Sebagai penghargaan, hadiah istimewa daripada Aplikasi Khair turut menanti pembeli terawal.

Tiket baharu akan mula dijual pada Sabtu, 14 Jun 2025 menerusi platform Ticket Empire, yang boleh diakses melalui laman rasmi konsert: www.kasihkekasih.com.

Konsert ini menjanjikan lebih 25 buah lagu dan medley nostalgia daripada katalog muzik Inteam, serta penampilan istimewa anak kepada Allahyarham Suhaimi Saad, bersama beberapa artis jemputan yang masih dirahsiakan.

Inteam turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MINAZ Sdn Bhd selaku penaja utama, serta rangkaian radio rasmi konsert iaitu Zayan, Era, Sinar dan Gegar. Turut diraikan ialah Aplikasi Khair, yang mana Inteam merupakan dutanya dan sebelum ini pernah ditaja ke Perth dan New Zealand bagi persembahan Kembara Selawat.

Peluang tajaan dan kolaborasi masih terbuka kepada mana-mana pihak yang berminat untuk bersama-sama menjayakan konsert ini, mahupun Jelajah Konsert Kasih Kekasih Malaysia yang dijadualkan berlangsung selepas ini.

Buat peminat yang terlepas peluang membeli tiket sebelum ini, jangan bimbang.

“Insya-Allah, kalau tidak berpeluang hadir kali ini, kita akan bertemu dalam konsert jelajah pula nanti,” ujar Inteam penuh semangat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button