Nasional

Sambutan Kemerdekaan ke-65 di Melaka berlangsung sederhana

Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri Melaka berjalan dalam suasana meriah walaupun tiada sebarang perarakan yang lazim diadakan sebelum ini. Begitu juga sambutan Ambang Merdeka juga tidak diadakan pada tahun ini.

Ini kerana Melaka telah dipilih untuk menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini.

Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka menjadi lokasi sambutan sederhana namun dihadiri lebih 10,000 rakyat menyerikan sambutan tersebut.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abd. Rahman menyerikan sambutan tersebut bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali serta isteri, Datin Seri Munira M. Yusop.

Sebahagian daripada peserta yang mengambil bahagian sambutan Kemerdekaan ke-65 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka.

Sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya oleh Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sejurus kemudian Tun Mohd Ali melakukan pemeriksaan kawalan kehormatan utama yang dilakukan membabitkan pegawai dan anggota ATM.

Turut diadakan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku, diikuti bacaan ikrar Rukun Negara serta laungan merdeka sebanyak tujuh kali oleh ketua pembaca ikrar bersama orang ramai yang
hadir.

Pelbagai persembahan kebudayaan berwarna-warni diadakan bagi memeriahkan suasana sambutan di samping bacaan puisi, sajak dan sebagainya meraikan pengunjung yang hadir.

Sulaiman berkata, sambutan merdeka kali ini dibuat secara sederhana tetapi berlangsung dalam suasana meriah dan dihadiri lebih daripada 10,000 masyarakat berbilang kaum di Melaka.

Menurutnya, sambutan ini diadakan juga selepas dua tahun tidak ada sebarang majlis sambulan kemerdekaan dilakukan kerana pandemik Covid-19.

“Di Fasa Endemik ini kita teruskan tradisi sebelum ini cuma tidak ada perarakan termasuk ambang merdeka seperti lazim diadakan pada setiap kehadiran 31 Ogos.

“Alhamdulillah, saya melihat pelbagai kaum turut hadir kerana inilah konsep sambutan kemerdekaan teguh bersama bersesuaian dengan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama,” ujarnya.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari; Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan
dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem. – SM

(Visited 330 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button