Nasionalpilihan

Sambutan Hari Malaysia akan digilirkan – Annuar Musa

Tradisi sambutan Hari Malaysia akan digilirkan di negeri-negeri di Semenanjung setiap empat tahun kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, selepas Melaka mencatat sejarah sebagai negeri pertama sambutan itu diadakan tahun ini ia akan kembali semula ke Sabah dan Sarawak sebanyak dua kali sebelum diadakan semula ke Semenanjung.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 menyifatkan sambutan buat julung-julung kali diadakan di Melaka bakal dikenang sebagai acara yang tersendiri
dan istimewa.

“Idea yang ditonjolkan oleh Melaka sebagai tuan rumah sangat unik dan menarik dengan satu konsep yang boleh dikenang lama.

“Selepas daripada perayaan ini ia akan dianggap sebagai salah satu sambutan Hari Malaysia yang tersendiri dan istimewa sesuai dengan konsep Melaka sebagai negeri pelancongan.

“Saya sangat berpuashati melihat raptai persiapan Hari Malaysia disambut esok dan setakat ini sudah mencapai 80 hingga 85 peratus dan menjelang esok (hari ini) bakal mencapai 90 peratus,” ujarnya.

Persiapan terakhir sempena sambutan Hari Malaysia di di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, malam esok.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau persiapan dan raptai sambutan Hari Malaysia di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, malam tadi.

Annuar berkata, sambutan kali ini dijangka meriah dan menarik perhatian ribuan pengunjung kerana buat pertama kali diadakan di kawasan terbuka kerana sejak tiga tahun lalu ia diadakan di Sabah
dan Sarawak dibuat di dalam dewan tertutup.

Sehubungan itu menurutnya, sambutan ini akan lebih bermakna dan meriah jika seluruh rakyat di negeri ini hadir menyaksikan perayaan tersebut mengenakan pakaian busana etnik dan versi 60-an.

“Semua tetamu dan jemputan khas akan memakai busana etnik dan berkonsepkan tahun 60-an sebagai satu wow faktor yang mampu menarik perhatian khususnya pelancong,” ujarnya.

Buat latihan terakhir menjelang sambutan Hari Malaysia di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, malam esok.

Beliau berkata, ada penambahbaikan pada penganjuran kali ini kerana mahu mengekalkan tradisi-tradisi refleksi daripada gabungan tiga Wilayah Tanah Melayu (Semenanjung), Sarawak dan Sabah yang
akan dihidupkan melalui konsep-konsep persembahan tersebut.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai untuk datang beramai-ramai memeriahkan sambutan berkenaan dan datang awal bagi mengelak berlakunya kesesakan. – SM

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button