Nasional

Sambutan Aidiladha, ibadah korban dibenarkan

JIKA Hari Raya Aidilfitri sebelum ini terpaksa disambut berjauhan daripada keluarga susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), perkara sebaliknya akan berlaku pada sambutan Aidiladha yang dijangka 31 Julai ini apabila umat Islam di negara ini dibenar meraikannya bersama keluarga di kampung.

Ketika mengumumkan berita gembira itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun sambutan Aidiladha dan ibadah korban masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Dalam kategori perayaan dan aktiviti keagamaan, saya nak sampaikan berita baik. Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan (tetapi) tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam,” katanya.

Muhyiddin berkata demikan menerusi perutusan khas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan PKPB yang akan berakhir Selasa ini, yang disiarkan di saluran televisyen tempatan hari ini.

PKPP yang bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan termasuk perjalanan rentas negeri  kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan ekonomi dibuka.

Perdana menteri berkata walaupun banyak kelonggaran diumumkan, beberapa aktiviti masih dilarang antaranya perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara dan rumah terbuka.

Muhyiddin berkata kelonggaran bagi solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula sedang diteliti.

“Kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut keluasan ruang masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi,” katanya.

Dalam perutusan khas petang ini Perdana Menteri mengumumkan perjalanan rentas negeri akan dibenarkan mulai Rabu ini iaitu selepas PKPB tamat kecuali di kawasan yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketika mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan PKPB yang akan berakhir Selasa ini, Muhyiddin berkata itu merupakan antara beberapa kelonggaran yang dibenarkan ketika negara berada dalam fasa pemulihan COVID-19.

“Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu bapa yang tinggal berjauhan di negeri yang lain, boleh berbuat berbuat demikian. Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung.

“Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama kita ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata turut dibenarkan dalam tempoh PKPP ialah aktiviti komersial melibatkan pemasaran bukan dalam premis perniagaan, lawatan ke muzium, aktiviti ‘indoor busking’, akitiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial. – BERNAMA

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button