fbpx
Politik

Saman RM10 juta menanti dua ADUN PKR berpaling tadah

PKR akan mengemukan saman RM10 juta setiap seorang kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar parti kerana mengkhianati parti dan pengundi.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, kedua-duanya iaitu ADUN Sidam Dr. Robert Ling Kui Ee dan ADUN Lunas, Azman Nasarudin sebelum pilihan raya umum lalu telah berikrar untuk tidak keluar parti.

Kedua-duanya juga sedar akan implikasi undang-undang sekiranya berbuat demikian.

“Saman akan dikemukakan dan mereka hendaklah bersedia berdepan akibat perbuatan mereka.

“Mereka menjadi Adun selama 2 penggal atas sokongan rakyat yang memilih mereka bukan atas kekuatan mereka, tetapi kerana lambing yang dibawa, iaitu lambang PKR.


“Saya percaya rakyat di Lunas dan Sidam berasa marah atas keputusan mereka keluar parti,” katanya pada sidang akhbar di Alor Setar hari ini.

Dr. Robert dan Azman mengisytiharkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat bebas pada satu sidang akhbar hari ini.

Alasan yang diberikan ialah berikutan perbezaan dengan kepimpinan PKR pusat dan presiden parti Anwar Ibrahim.

Johari berkata, tindakan kedua-dua wakil rakyat itu keluar PKR dan menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bermakna Azman dan Dr. Robert turut memberi sokongan kepada Perikatan Nasional, sekali gus meninggalkan PKR serta perjuangannya membela rakyat selama 22 tahun.

Akibat daripada tindakan kedua-dua ADUN itu juga, kerajaan PH Kedah kehilangan majoriti dan bakal menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhris Mahathir sekali kehilangan jawatan berkenaan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhamad Sanusi Md Nor pada sidang akhbar petang ini berkata, 23 Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (ADUN) menyatakan hilang keyakinan terhadap Mukhriz.

Katanya, semua wakil rakyat terbabit termasuk empat dari Bersatu dan dua dari bekas wakil rakyat PKR itu telah menandatangani akuan berkanun bagi menyatakan hilang keyakinan mereka terhadap Mukhriz.

Menurutnya, akuan berkanun tersebut telah diserahkan kepada setiausaha kerajaan negeri untuk diserahkan kepada Istana Kedah ubagi mendapatkan perkenan Sultan Kedah.

Pas memiliki 15 daripada 36 kerusi di Dewan Undangan Negeri Kedah manakala Umno mempunyai 2 kerusi. -SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button