Politik

Ganti tikar: Wan Saiful ganti Zuraida Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

NAMA Wan Saiful Wan Jan, Ketua Penerangan parti Bersatu disebut mengambil alih jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin.

Selain nama Wan Saiful Wan Jan, ada tiga nama lagi yang disebut-sebut untuk mengambil alih jawatan yang disandang oleh Zuraida dalam Kabinet pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Nama yang familiar disebut ialah Mas Ermieyati Samsudin iaitu bekas Timbalan Menteri yang pernah berkhidmat di kementerian yang sama.

Mas Ermieyati

Dua nama lagi yang tertebaran ialah nama bekas menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohd Redzuan Md Yusof dan nama Pengerusi Bersatu Negeri Terengganu, Razali Idris.

Tidak mahu ada yang terkeliru dengan senario Zuraida keluar, siapa masuk ialah beliau hanya keluar parti. Zuraida keluar dari menjadi ahli parti Bersatu tetapi kekal sehingga hari ini sebagai menteri. Jawatan yang disandangnya di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.


Manakala terkini, Wan Saiful ialah Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kontraknya sebagai Pengerusi PTPTN akan tamat pada akhir Jun ini.

Setakat ini tidak pula ada bunyi-bunyi di luar sana mengatakan yang Perdana Menteri Ismail Sabri mahu melantik orang lain menggantikan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Entah dari mana, secara tiba-tiba pula menjadi topik hangat, kalau Ismail Sabri mahu melantik Wan Saiful sebagai menteri, Wan Saiful perlu dilantik sebagai Senator atau Ahli Dewan Negara.

Barulah Wan Saiful boleh duduk dalam jemaah menteri Kabinet walaupun masih ada satu lagi kuota Ahli Dewan Negara untuk diisi oleh Bersatu.

Geng-geng Wan Saiful mungkin juga sedang buat percaturan tidak mustahil pelantikan Wan Saiful sebagai Pak Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi boleh berlaku.

Minggu lepas, Zuraida mengumumkan beliau menyertai parti baharu, PBM. Parti itu turut disertai beberapa bekas ahli PKR yang pernah dikaitkan dengannya.

Menyusuli pengumuman itu, Bersatu mengisytiharkan keahlian Zuraida gugur serta-merta dan menuntut jawatan Jemaah Menteri yang dipegang Zuraida, diberikan kepada calon parti Bersatu.

Bagaimanapun Ismail Sabri semalam berkata, Zuraida hanya keluar Bersatu dan bukannya berundur sebagai menteri.

“Kedudukan Zuraida dalam Jemaah Menteri perlu dibincangkan antara mereka berdua terlebih dahulu,” katanya. – SUMBER LAPORAN FMT – SM

(Visited 231 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button