Nasional

Tiada lagi sekatan jalan raya PKPB

RAMAI yang bersorak, seronok, bertepuk tangan di rumah apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat pada 9 Jun ini.

Rata-rata masyarakat merasakan, peluang untuk mereka balik kampung sudah terbuka luas di hadapan mata.

Ya memang benar pengumuman Perdana Menteri petang tadi yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen membawa maksud yang tersirat tetapi yang tersuratnya, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula pada 10 Jun tetapi dengan kelonggaran, dibenarkan pergerakan rentas negeri.

Seluruh sekatan jalan raya yang terdapat di setiap sempadan negeri akhirnya akan ditutup.

Ketua Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sudah tidak ada keperluan untuk sekatan jalan raya diteruskan kecuali di lokasi Op Benteng Covid-19.

“Menjelang 9 Jun nanti, kami akan dapat menetapkan bentuk penugasan baharu,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata, penugasan baharu ini juga termasuk kawalan trafik memandangkan orang ramai akan mengambil kesempatan ini untuk balik ke kampung.

Tambahnya, penugasan pemantauan akan ditambah bagi memastikan kepatuhan kepada jarakan sosial.

Dalam perutusan khas petang ini Perdana Menteri mengumumkan perjalanan rentas negeri akan dibenarkan mulai Rabu ini iaitu selepas PKPB tamat kecuali di kawasan yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketika mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan PKPB yang akan berakhir Selasa ini, Muhyiddin berkata itu merupakan antara beberapa kelonggaran yang dibenarkan ketika negara berada dalam fasa pemulihan COVID-19.

“Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu bapa yang tinggal berjauhan di negeri yang lain, boleh berbuat berbuat demikian. Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung.

“Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama kita ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata turut dibenarkan dalam tempoh PKPP ialah aktiviti komersial melibatkan pemasaran bukan dalam premis perniagaan, lawatan ke muzium, aktiviti ‘indoor busking’, akitiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial.

Muhyiddin berkata mulai tarikh PKPP dikuatkuasa, dobi layan diri dan penggambaran filem serta penganjuran mesyuarat dan bengkel, turut dibenarkan dengan syarat protokol kesihatan dipatuhi dan penggunaan ruang dioptimumkan.

Bagi aktiviti sukan dan rekreasi pula, beliau berkata ia dibenarkan selagi tidak melibatkan sentuhan badan seperti sukan boling, badminton, memanah dan menembak, termasuk aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal.

“Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki,” katanya.- SM

(Visited 351 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button