Politik

Isu yang mengusutkan UMNO diputuskan oleh MKT esok

SEGALA kekalutan yang berlaku dalam parti UMNO berhubung pelbagai isu termasuk sama ada akan terus bersama Perikatan Nasional atau tidak akan dijawab esok.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan berkata, turut disentuh dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO esok termasuk kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Adakah UMNO akan keluar dari Kerajaan yakni mengarahkan Ahli Parlimennya menarik sokongan kepada Kerajaan PN? Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan berbincang segala kemungkinan. MKT bermesyuarat esok.

“Adakah UMNO menolak kerjasama dengan PPBM untuk PRU15? Sepertimana dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, lebih 140 bahagian mengusulkan menolak kerjasama dengan PPBM.

“MKT ambil maklum sentimen tersebut dan esok akan berbincang dan mempertimbang segenap sudut, ke arah pendirian rasmi,” kata Shahril dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan media susulan majlis tertutup dialog ketua-ketua UMNO Bahagian bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang menimbulkan banyak persoalan dan spekulasi.

Sementara itu mengenai kerjasama dengan DAP, Shahril berkata, jika hubungan antara UMNO dan PPBM terputus tidak bermakna UMNO akan mengantikan dengan parti lain.

“Walaupun kurang mendapat liputan media, persidangan-persidangan bahagian banyak juga yang menegaskan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 iaitu tiada kerjasama dengan DAP dan (Presiden PKR Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

“Ini keputusan dasar PAU. Jika pertalian UMNO-PPBM terputus sekalipun, tak bermakna kita begitu cepat menggantikan dengan pihak lawan lain tanpa usul periksa,” katanya.

Mengenai Pas, UMNO menurut beliau masih lagi berharap untuk mengukuhkan kerajasama dengan parti itu.

Shahril berkata, UMNO sama sekali tidak akan mengetepi persahabatan yang terjalin antara kedua-dua perti itu dalam Muafakat Nasional.

“Saya hanya boleh menyentuh pendirian UMNO – iaitu UMNO masih menaruh harapan untuk mengukuhkan kerjasama dengan PAS.

“Jika pertalian UMNO-PPBM terputus sekalipun, UMNO tidak akan membelakangkan persahabatan Muafakat Nasional yang telah terbentuk,” kata Sharil Sufian.

Ketika ini banyak pihak melihat UMNO sebagai sebuah parti yang kusut dengan pelbagai isu.

Parti itu juga dilihat tidak mempunyai pendirian yang jitu selepas pemimpinnya sering mengeluarkan kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain.-SM

 

 

(Visited 366 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button