Sukan

Impian Luqman untuk beraksi bersama Safawi tidak menjadi kenyataan

KETIADAAN  bintang sensasi Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid di dalam skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara ke Sukan SEA 2019 di Filipina, dirasai penyerang muda meningkat naik Luqman Hakim Shamsuddin.

Luqman Hakim, 17, antara enam pemain skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara, yang dipanggil menyertai kem latihan skuad B-22 kendalian ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee, dalam usaha melakar kejayaan membanggakan di Filipina.

Mengakui beraksi di pentas Sukan SEA merupakan impiannya, Luqman Hakim turut menyimpan hasrat menimba pengalaman, bermain bersama Muhammad Safawi selain seorang lagi pemain kebangsaan, Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

“Bermain untuk pasukan negara di Sukan SEA adalah apa yang saya impikan selama ini. Edisi 2017 di Kuala Lumpur, saya hanya menyaksikan sebagai seorang penonton dan sejak itu saya berazam untuk berada di dalam skuad untuk edisi 2019.

“Saya juga selalu impikan untuk beraksi bersama mereka berdua (Muhammad Safawi dan Muhammad Akhyar), jika diberikan peluang oleh jurulatih,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media Kejohanan Bola Sepak Junior Antarabangsa RSC-Datuk Chu Ah Nge, Edisi ke-15 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Luqman Hakim yang menjadi pemain Malaysia pertama ditawarkan kontrak beraksi bersama kelab Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk, berazam untuk membalas kepercayaan Kim Swee sekiranya beliau tersenarai dalam senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA.

“Ia satu tugas yang berat (jika terpilih) tetapi saya sedia memberikan segalanya jika terpilih. Soal tekanan itu saya tidak mahu terlalu memikirkan, kerana saya hanya mahu berikan yang terbaik di dalam latihan dan perlawanan,” tambah beliau.

Kim Swee hari ini membuat kejutan dengan tidak menamakan Muhammad Safawi, dalam senarai tujuh pemain skuad Harimau Malaya yang dipanggil ke kem latihan pasukan B-22 negara.

Luqman Hakim Shamsuddin

Tujuh pemain dipanggil adalah Muhammad Akhyar, Mohamed Syamer Kutty Abba, Muhammad Haziq Nadzli dan Adam Nor Azlin (JDT); Danial Amier Norhisham (Felda United), Dominic Tan (Police Tero FC) dan Muhammad Syahmi Safari dari Selangor.

Hanya 20 pemain daripada 32 senarai pemain terkini skuad B-22 negara, akan terbang ke Manila Sabtu ini, untuk membawa cabaran negara sekali gus menebus kekecewaan gagal meraih pingat emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, setelah tewas 0-1 kepada Thailand di pentas final.

Sementara itu, Kejohanan Bola Sepak Junior Antarabangsa RSC-Datuk Chu Ah Nge Edisi ke-15 akan berlangsung selama dua hari pada 30 Nov hingga 1 Dis di Royal Selangor Club Sports Annexe, Bukit Kiara.

Sebanyak 81 pasukan melibatkan 1,000 pemain dari enam negara; Malaysia, Japan, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Maldives akan bersaing di setiap peringkat umur; B-8, B-10, B-12, B-14 dan B-16 untuk merebut trofi kejuaraan Datuk Chu Ah Nge.

— BERNAMA

(Visited 51 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button