Nasionalpilihan

Tanjong Bruas Port kena bayar pampasan nelayan

Kira-kira 243 nelayan dan awak-awak dari lapan pengkalan nelayan di Pantai Kundor hingga Klebang dijangka menerima bayaran pampasan selewat-lewatnya sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau sekali lagi telah bercakap dengan pihak pengurusan Tanjung Bruas Port dan meminta mereka menjelaskan bayaran pampasan yang telah dijanjikan sejak tiga tahun lalu.

“Mereka (Tanjung Bruas Port) kena bayar pampasan itu. Saya sudah maklumkan kepada pihak terbabit dan kalau boleh bayar sebelum puasa atau selewat-lewatnya sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Panjang jeti yang disambung cuma 50 meter sahaja dan kalau sambung lima meteri lagi nelayan akan tuntut pampasan lagi. Ini biasalah jangan tak bayar sudahlah.

“Saya tetap mahu pihak terbabit bayar pampasan seperti yang dijanjikan jangan tidak bayar pulak,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kunci Rumah Program
Melaka Rumahku 2023 di Batu 10 3/4, Jalan Haji Sehat, Kampung Durian Daun, Masjid Tanah di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Maznah Abd. Rahim, 63, menerima rumah tiga bilik bernilai RM50,000 secara percuma selepas rumah kediamannya hangus terbakar pada kejadian Oktober tahun lalu.

Sulaiman mengulas keresahan nelayan terbabit dari Sungai Lereh, Klebang, Balik Bukit, Pengkalan Perigi, Pantai Jaring, Pantai Rombang, Pantai Kundor dan Tanjung Kling susulan projek pemanjangan jeti sepanjang 50 meter.

Sebelum ini akhbar melaporkan nelayan terbabit meminta kerajaan negeri campur tangan berhubung isu pampasan yang didakwa mereka masih belum dijelaskan oleh pihak terbabit sejak tiga tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Kundor, Khairulazni Baharuddin berkata, timbul runggutan daripada nelayan terlibat yang menyatakan pampasan dijanjikan belum diselesaikan.

Pada majlis yang sama Sulaiman berkata, pihak Lembaga Perumahan Melaka (LPM) akan membina 60 unit lagi rumah melalui Program Melaka Rumahku 2023 melibatkan kos sebanyak RM3 juta pada tahun ini.

Menurutnya, program itu dikhususkan kepada mereka yang amat memerlukan melibatkan mangsa bencana, kebakaran, rumah terlalu usang dan tidak selamat dihuni.

“Setakat ini LPM telah menyerahkan surat tawaran Melaka Rumahku 2023 kepada tiga penerima dan masih ada baki 57 kekosongan yang akan diisi,” katanya.

Jelasnya, permohonan perlulah memenuhi syarat dan kelulusan oleh Jawatankuasa Penilaian dan Pemilihan Program Melaka Rumahku 2023. – SM

(Visited 94 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button