Nasional

Saf berhemah perkukuh kerajaan Muhyiddin

ANALISIS

CABARAN terbesar menguruskan sesebuah kerajaan tidak sahaja letaknya pada pentingnya kualiti dan integriti kepimpinan dalam menyempurnakan amanah.

Lebih daripada itu, ia menuntut dukungan kepengikutan yang berhemah supaya jiwa mandiri terbina, kecemerlangan berlaku, kebijaksanaan terjadi dan bersedia bertarung di arus perdana yang menuntut perimbangan antara idealisme dan realiti.

Sering terjadi idealisme pengikut terlalu tinggi. Kalau boleh perubahan yang lebih sempurna berlaku sekelip mata.

Mentaliti subsidi pula semakin kuat mengakar sehingga kemampuan sesebuah kerajaan melakukan perubahan terhalang. Perubahan ke arah perubahan sikap yang sifatnya sering mengharap kerajaan melakukan segala-gala perlu diatasi.

Jika tidak, sejarah bakal mengulangi jejak kerana premis sikap dan pemikiran tidak berubah. Strategi yang dirintis oleh Rasulullah SAW amat mementingkan pembinaan rijal (manusia) supaya berlaku dakwah dan tarbiyyah yang memberi fokus kepada kekentalan akidah dan terbinanya akhlak contoh bagi menjadi pedoman warga umat yang beriman dan bertaqwa.

Dalam Surah As Saf Allah SWT menyebut peri pentingnya warga umat berjuang dalam barisan yang tersusun rapi ibarat bangunan yang tersusun kukuh (ayat 4).

Pecah-belah bukanlah anjuran al Quran dan Islam. Pecah-belah atau tersasar dari saf bakal melemahkan umat dan tidak digeruni musuh dan ianya menjadi kegemaran iblis dan syaitan.

Berlaku peristiwa dalam perjuangan warga umat kalah-menang dalam sesuatu pertarungan. Kemenangan tidak menyebabkan kita hilang pertimbangan hingga timbul tekad membalas dendam dan meluaskan lagi jurang perpecahan yang menyebabkan arah tuju perjuangan sebenar menjadi kabur.

Kekalahan tidak bermakna hayat perjuangan sudah sampai ke penghujungan. Ada hikmah di sebalik kekalahan bagi membolehkan warga umat melakukan muhasabah, melihat ke dalam diri supaya wujud kesedaran baharu untuk bangun semula dengan tekad yang lebih baik.

Luruskan saf yang kelihatan bengkok dan bentuk barisan tersusun rapi sesuai dengan cabaran sezaman dan maslahah lingkungan.

Orang Melayu harus mampu menjadikan agenda peleraian masalah sebagai sesuatu yang paling utama. Strategi ini penting bagi mengembalikan kekuatan umat supaya walaupun terdapat perbezaan akibat faham dan aliran, politik dan pilihan raya, hakikatnya agenda umat harus menjadi sesuatu yang lebih penting.

Perjuangan Islam bukan perjuangan nafsul amarah sebaliknya perjuangan Islam adalah didukung oleh jiwa mutmainnah. Rasulullah SAW memiliki sifat sedemikian demi nafas panjang perjuangan Islam itu sendiri.

Sebab itu Islam mampu diwarisi kepada para sahabat dan tabie-tabieen kerana jalur dakwah dan tarbiyyah sentiasa menjadi agenda pokok mereka.

Berada dalam satu saf yang tersusun rapi memerlukan aqidah yang mantap, iman yang terurus, ilmu yang sifatnya memandu dan pengalaman yang menyebabkan keinsafan tentang pentingnya jiwa jamaah dan wahdah terjadi.

Ia hanya terjadi jika warga saf terdiri dari orang yang tasamuhnya tinggi, berhemah dan memiliki daya kesabaran yang baik kerana al Quran menganjurkan perjuangan menegakkan kebenaran menuntut upaya menyerap kesabaran yang tinggi (watawa saubilhaq watawasaubissabr).

Warga saf yang tersusun rapi tidak harus mempunyai sifat gopoh kerana perbezaan dan pertentangan yang ada. Jiwa dai’ dan murabbi umpamanya harus bersikap tenang dan sabar lantaran jika berlaku perpecahan tidak mudah untuk disembuhkan lagi dan ianya menyebabkan saf tidak berada dalam barisan yang lurus.

Lurus bukan hanya bermakna lurus zahiri. Lurus yang paling utama ialah lurus batini dimana keikhlasan, ketelusan dan ketulusan menjadi asas pedoman. Tautan rohaniah hamba dan Khaliq menjadikan jiwa taqarrub Ilallah atau kedekatan kepada Allah terpancar.

Asas ini kalau dapat dibina ia mendidik rasa amanah yang tinggi terhadap mengajak yang makruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah (maksud Surah al Imran ayat 110).

Justeru kelemahan yang ada sesama umat harus mencetuskan jiwa muhasabah yang tinggi supaya jalur dakwah dan tarbiyyah terjadi. Tidak harus timbul rasa taksub yang tinggi sehingga timbul sifat-sifat pelampau dan menyebabkan konflik terjadi kerana keterbukaan untuk mendengar dan berbeza pendapat selagi ia tidak melanggar syarak harus diraikan.

Kalau saf yang dibina tidak boleh dijadikan contoh, ia ibarat bangunan mudah runtuh.

Keruntuhan ukhuwwah Islamiah, rasa syak wasangka yang tinggi, payah untuk berbeza pendapat, tidak bersedia menerima pandangan dari orang lain walaupun baik, tidak ada rasa syukur terhadap kebaikan rahmah dan nikmah Allah dan kebaikan yang orang lain lakukan antara halangan binaan saf yang tersusun rapi.

Asas ini menuntut warga umat memiliki kejernihan hati yang cukup tinggi. Ia supaya merasakan sesama Islam kita adalah bersaudara dan kesabaran yang tinggi menghadapi kerenah dan mehnah zaman adalah kunci binaan saf mampu terjadi. – SM

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button