Politik

Politik Melayu: Tutup ‘riwayat lama’, Malaysia perlu ‘benih baru’ – Tok Mat

POLITIK bangsa Melayu terus berantakan meskipun telah 10 bulan UMNO menyokong ‘kerajaan Melayu’.

Justeru, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyarankan, sudah tiba masanya orang Melayu menutup ‘riwayat lama’ dan membuka lembaran politik baru.

Jelas Mohamad, negara Malaysia memerlukan benih dan inspirasi baru.

“Hamka pernah berpesan, “Orang berakal hidup untuk masyarakatnya, bukan buat dirinya sendiri”.   Malaysia sangat memerlukan mereka yang sebegini untuk tanahair ini.

“Mungkin tiba masanya kita tutupkan riwayat lama, bukakan lembaran baru. Baik hentikan termenung gundah gulana kerana apalah gunanya lama terharu.

“Akhirnya, cerita hari kemarin telah berlalu dan ceritanya sudah pun diceritakan. Hari ini, benih-benih baru tumbuh. Demikian juga Malaysia, ia perlukan benih dan inspirasi baru,” kata Mohamad.

Kenyataan Mohamad itu datang selepas dua tokoh veteran politik Melayu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah membuat sidang akhbar bahawa mereka akan bekerjasama untuk membina semula Malaysia melalui kerajaan baharu.

Kedua-dua mereka memberi bayangan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh tiga parti utama orang Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu akan runtuh dalam undi belah bahagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat esok.

Menurut Mohamad, rakyat kini sangat bosan, muak dan jelik dengan pelbagai kenyataan, perlakuan dan pertembungan ahli politik terutama bangsa Melayu.

Tegas beliau, pertelagahan yang berlaku tidak langsung menguntungkan bangsa. Sebaliknya ia meletakkan kedudukan orang Melayu pada situasi yang lemah dan tanpa haluan yang jelas.

“Mungkin yang diperlukan oleh bangsa Melayu bukan lagi gagasan. Tetapi pencerahan tentang jalan bagaimana bangsa Melayu itu akan jadi lebih baik dan maju.

“Mungkin yang diperlukan oleh Malaysia itu bukan lagi perikatan politik demi perikatan politik.  Tetapi dasar, idea dan kecerdikan baru untuk menjayakan Malaysia yang maju,” kata Mohamad.

Ketika ini orang Melayu sendiri dalam keadaan dilema dan berpecah kerana tidak pasti pihak mana yang benar-benar mewakili mereka.

Ini kerana pada waktu ini mereka melihat kebanyakkan pemimpin yang ada bukanlah memperjuangkan nasih mereka sebaliknya hanya berebut jawatan dan kuasa untuk diri dan pengikut masing-masing. -SM

(Visited 413 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button