fbpx
Sukan

Sabah tercicir daripada saingan Piala Malaysia

PASUKAN bola sepak Sabah terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2020 yang bakal membuka tirai pada 6 Nov ini, akibat pandemik Covid-19 yang masih ‘mengganas’ di negeri berkenaan.

BERNAMA melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan yang mengesahkan bahawa kejohanan berprestij itu akan diteruskan mengikut jadual, berkata Sabah tidak dapat pelepasan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Nov.

Malah, bagi aksi terakhir Liga Super antara Sabah dan UiTM FC yang tertunda sejak 11 Okt, sebelum dijadualkan semula ke 31 Okt di Stadium Hang Jebat Melaka, UiTM FC diberikan kemenangan 3-0 selepas permohonan laluan khas skuad Sabah tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Permohonan pengecualian bagi pasukan Sabah tidak diluluskan sehingga menyebabkan perlawanan Liga Super yang tertunda tidak dapat dimainkan. Tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari (sekiranya pasukan Sabah tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur)  pada hari ini) melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama (kalah mati) Piala Malaysia.

Justeru, pasukan yang bakal diundi bertemu pasukan Sabah di pusingan pertama Piala Malaysia 2020 diberikan kemenangan 3-0 dan seterusnya layak ke suku akhir. Sabah kekal sebagai pasukan Liga Super untuk musim 2021 dan tiada hukuman bakal dikenakan terhadap Sabah kerana isu ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini .


Ab Ghani berkata keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-23 semalam, dengan undian Piala Malaysia akan diteruskan seperti dijadual pada Ahad ini.

Mengulas mengenai pasukan yang sedang di bawah PKPB seperti Selangor, Petaling Jaya (PJ) City FC, UiTM FC dan Kuala Lumpur, Ab Ghani berkata pihaknya akan membantu kelab-kelab berkenaan berkaitan proses untuk bermain di venue zon hijau.

“Sudah pasti kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa menjadi agenda utama buat MFL ketika dalam pandemik Covid-19 dan ia akan menjadi tanggungjawab bersama dalam menjayakan kejohanan ini,” katanya.

Format Piala Malaysia musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama melibatkan 16 pasukan (11 Liga Super, lima Liga Premier ) sehingga ke pusingan suku akhir (12 dan 13 Nov), separuh akhir (17 Nov) tanpa aksi timbal balik sebelum aksi final pada 22 Nov.

Ahli Lembaga Pengarah MFL juga memutuskan format kenaikan dan penyingkiran Liga Super kekal seperti biasa, selepas tiada penyingkiran di Liga Premier susulan Liga M3 2020 dibatalkan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah Kurniawan Dwi Yulianto menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan percaya keputusan dibuat oleh MKN itu demi mengutamakan keselamatan semua pihak susulan penularan wabak COVID-19 yang masih membimbangkan khususnya di Sabah ketika ini.

“Tentulah keputusan ini masih mengejutkan kami semua tetapi saya bersama pemain memahami hal ini kerana semestinya kita harus tetap mematuhi arahan dikeluarkan oleh MKN dan pihak kerajaan, jadi sebagai warganegara yang prihatin, kami menerima keputusan ini.

Apa pun, ia tidak akan melunturkan semangat kami untuk memastikan terus menjadi sebuah pasukan kuat bagi mengharungi musim 2021 walaupun hakikatnya ketika ini, pastinya semua masih sedih kerana tidak dapat beraksi dan terpaksa melupakan aksi Piala Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Perkembangan itu menyaksikan Sabah mengakhiri kempen Liga Super 2020 di tempat ke-10 daripada 12 pasukan dengan mengumpul sembilan mata, manakala UiTM FC melonjak ke tangga keenam dengan 17 mata.

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button