Politik

RUU Antilompat Parti Adalah Antara Fokus Persidangan Terkini

Sidang Khas Dewan Rakyat pada 11 April depan hanya untuk membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri Sehingga 10 Tahun.

Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, berkata notis mengenai sidang khas berkenaan sudah dikeluarkan kepada semua ahli Dewan Rakyat.

“Sidang Khas itu hanya membabitkan dua perkara. RUU pindaan Perlembaan berkaitan Antilompat Parti, iaitu larangan lompat parti oleh Ahli Parlimen dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri.

“SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 tidak boleh dibentangkan sekali. Itu dua perkara saja. Isu SOSMA tidak timbul dan perkara itu terpulang kepada Menteri Dalam Negeri.

“Setakat ini, pihak berkenaan (Menteri Dalam Negeri) belum ada perbincangan dengan kita (pembangkang) dan kita pun tidak tahu bila beliau hendak bentangkan. Bagi kita, pada 11 April ini tumpuan khusus untuk buat pindaan Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban 2022 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus.

Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata tarikh 11 April sudah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang memiliki prerogatif untuk memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat.

Dr Wan Junaidi berkata, pihaknya memberi jaminan kepada semua Ahli Parlimen kerajaan kekal komited untuk membentangkan RUU itu, bagi mengawal tindakan wakil rakyat melompat parti selepas pilihan raya.

Terdahulu, usul bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) SOSMA gagal mendapat sokongan mencukupi Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Loke menafikan dakwaan sesetengah pihak DAP tidak mencerminkan parti pelbagai kaum susulan hanya seorang pemimpin Melayu memenangi dalam pertandingan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, baru-baru ini.

“Jika DAP bukan parti pelbagai kaum, sudah tentu tiada pemimpin dari kaum yang berlainan. Itu tidak betul.

“Soal siapa menang, siapa kalah dalam CEC itu terpulang kepada perwakilan kerana mereka yang buat keputusan dan kita tidak boleh paksa untuk pilih siapa.

“Saya yakin, dalam jangka masa panjang akan lebih ramai pemimpin Melayu akan terpilih dalam barisan kepemimpinan tertinggi DAP. Pemilihan Young Syefura sebagai ahli CEC satu permulaan yang baik,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Loke berkata, pemimpin parti itu perlu terus bekerja keras bagi menambat hati rakyat.

(Visited 175 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button