Nasional

Esok keputusan ke MRSM

PELAJAR-PELAJAR yang layak ke Tingkatan Satu dan Empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sesi 2021, mula boleh disemak esok.

Kemasukan pada tahun ini mengambil kira dua kriteria, iaitu lulus Ujian Kecenderungan Kecemerlangan Kemasukan ke MRSM (UKKM) atau Ujian Khas Ulul Albab dan merit Status Sosio Ekonomi (SES) keluarga.

Selain itu calon berjaya juga akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang didaftarkan semasa permohonan.

“Pemohon juga boleh membuat semakan menerusi portal rasmi MARA di www.mara.gov.my. Pemohon atau ibu bapa perlu mengesahkan penerimaan tawaran kemasukan menerusi pautan sistem mymrsm dalam portal MARA.

“Sekiranya calon tidak membuat pengesahan penerimaan tawaran dalam tempoh tujuh hari, tawaran kepada calon berkenaan dianggap terbatal,” kata Mara dalam satu kenyataan.

Untuk rayuan ke MRSM pula akan dibuka pada 7 April sehingga 30 Mei secara atas talian dan pemohon tidak perlu menghantar permohonan fizikal kerana proses dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian.

“Pada tahun ini, MARA menerima 102,329 ribu permohonan bagi kemasukan ke Tingkatan 1 dan 4. Kapasiti kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 seramai 7,783 orang pelajar, manakala bagi Tingkatan 4 pula seramai 2,426 orang pelajar.

“Pelajar MRSM sedia ada kini berjumlah 28,087 orang pelajar setakat Februari lalu di 53 MRSM,” demikian menurut kenyataan itu.

Pada tahun ini dua MRSM baharu akan mula beroperasi awal Jun, iaitu MRSM ATM Bera, Pahang dan MRSM Bagan Datuk, Perak.

Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata, agensi masih meneruskan dasar sedia ada dengan 60 peratus pengambilan daripada golongan berpendapatan rendah atau B40.

“Keutamaan juga diberi kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar. Bagi memastikan pelajar B40 dapat meneruskan pengajian di MRSM, Mara akan meneruskan program Budi Mara. Pelajar B40 tidak perlu bimbang kerana Mara menyediakan program bantuan di bawah program Budi Mara.

“Pelajar terpilih akan diberi bantuan wang tunai berjumlah RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian pakaian persekolahan, pakaian harian, keperluan asrama, peralatan persekolahan dan sebagainya,” katanya.

.

(Visited 293 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button