Sukan

Williams sanjung pemain bergelar ibu pada Terbuka AS

SERENA Williams berkata, esok (awal pagi waktu Malaysia) akan memberi kelebihan besar kepada pemain yang bergelar ibu termasuk dirinya apabila kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) bakal meraikan Hari Ibu.

Ia memang cukup hebat, seramai tiga daripada lima pemain wanita yang beraksi pada peringkat 16 terbaik melibatkan ibu kepada anak yang masih kecil, dengan Williams mengetuai cabaran menentang pilihan ke-13, Maria Sakkari dari Greece, awal pagi esok.

Seorang lagi bekas pemain No. 1 dunia, Victoria Azarenka yang berdepan Karolina Muchova merupakan ibu kepada Leo yang berusia tiga tahun dan wakil Bulgaria, Tsvetana Pironkova melahirkan anak lelakinya Alexander 17 bulan lalu.

Hanya tiga pemain wanita yang memenangi gelaran Grand Slam selepas bergelar ibu iaitu Margaret Court, Yvonne Goolagong dan Kim Clijsters.

Williams memenangi gelaran Grand Slam yang ke-23 pada Terbuka Australia sewaktu dia sedang mengandungkan Alexis, yang menyambut ulang tahun kelahiran ketiga, minggu lalu.

Pemain itu mengakui menjadi seorang ibu tidak memberinya kelebihan sewaktu bermain tenis.
Bagaimanapun, jika dia mampu melakar sejarah dengan menyamai rekod Court merangkul gelaran Grand Slam yang ke-24, maka perjuangannya itu menjadi satu misi keluarga.

“Saya sangat gembira kerana begitu ramai ibu dalam pertandingan ini, sudah tentu salah seorang daripada mereka adalah saya sendiri. Saya benar-benar menghormati wanita yang bergelar ibu.

“Saya tidak pernah terfikir akan bermain sebagai seorang ibu dan ditambah pada satu hari nanti anak perempuan anda akan berkata dia turut berada di sana. Sama ada dia ingat ataupun tidak, gambar akan menjadi buktinya.

“Tetapi, selain daripada itu, ia menjadi faktor penolak kerana saya tidak dapat bersama dengannya. Saya tidak berada disisinya,” kata Williams.

Bagi Pironkova, 32, bermain sebagai seorang ibu menjadi satu hadiah yang tidak diduga.
Terbuka AS merupakan kejohanan pertamanya sejak Wimbledon 2017, tetapi dia berjaya menyingkirkan juara pada tahun berkenaan iaitu Garbine Muguruza untuk mencatat pertemuan dengan, Alize Cornet.

“Pada satu ketika, mungkin selama setahun setengah atau dua tahun selepas saya bergelar ibu, saya tidak pernah terbayang sama sekali dapat kembali bermain dalam jelajah,” ujar Pironkova.

Untuk jumlah keseluruhan, seramai sembilan pemain yang bergelar ibu menyertai Terbuka AS, tetapi dua pemain daripada undian utama telahpun tersingkir seawal pusingan kedua.

Sementara itu, Angelique Kerber menjadi nama besar terbaru yang tersingkir daripada Terbuka AS selepas tewas 1-6, 4-6 kepada pemain AS, Jennifer Brady.

Juara tiga kali Grand Slam dan bekas pemain No. 1 dunia itu yang pernah memenangi kejohanan tersebut pada 2016, tumpas mudah di tangan pemain tuan rumah meskipun ketiadaan penonton di dalam Stadium Louis Armstrong. – Daily Express – SM

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button