Nasional

RuralStar peranti rapatkan jurang digital pengguna

MAJLIS Pelancaran RuralStar Huawei bagi daerah Bera bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan penduduk di kawasan Bera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

RuralStar merupakan peranti infrastruktur rangkaian telekomunikasi teknologi terkini yang dapat menghubungkan kawasan yang bukan hanya terpencil tetapi juga tidak mempunyai infrastruktur komunikasi yang lengkap.

“Pelancaran RuralStar ini amat penting agar teknologi baharu seperti ini dapat memudahkan salinghubungan (ketersambungan) kepada komuniti-komuniti yang sukar dijangkau,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata, proses digitalisasi berlaku dengan giat di seluruh negara sejak penularan pandemik Covid-19 bagi membolehkan kehidupan harian diteruskan tanpa menganggu kelangsungan pendidikan dan juga produktiviti perniagaan.

“Meskipun begitu, masih terdapat kelompok-kelompok kecil yang masih belum menerima manfaat daripada proses berkenaan.

“Justeru Kerajaan sentiasa berusaha membawakan arus kemajuan ini ke semua peringkat masyarakat bersesuaian dengan prinsip Keluarga Malaysia agar tiada sesiapa pun tertinggal daripada menikmati peluang kemakmuran bersama yang lebih inklusif dan saksama,” ujar beliau.

Dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat, kata Perdana Menteri, Kerajaan tetap fokus kepada matlamat utamanya iaitu merapatkan jurang digital dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Saling hubungan atau ketersambungan digital yang menyeluruh di segenap lapisan masyarakat menjadi objektif utama dalam pentadbiran Kerajaan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, “baru-baru ini MEASAT 3-d telah dilancarkan dan dengan pelancaran satelit itu, saya berharap keupayaan capaian internet di kawasan bandar dan sub-luar bandar akan lebih ditingkatkan,”.

Beliau berkata, pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negera atau JENDELA bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar tetap kepada 9 juta premis menjelang tahun 2025. – SM

 

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button