Politik

Pergolakan DAP Sarawak: Pengerusi terkejut Naibnya umum keluar parti

JIWA pemimpin perlu kental. Apatah lagi ketrampilan sebagai seorang ketua dan pemimpin itu sebenarnya perlu lahir dari hati dan jiwa. Bukan kerana melangkah masuk ke dunia politik dengan beranggapan, menjadi pemimpin itu mudah atau sekadar ‘tukang arah’.

Itulah yang terjadi apabila Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen bukan sahaja kecewa tetapi terkejut dengan tindakan naib pengerusinya, Wong King Wei yang mengumumkan keluar parti.

Berita itu yang jika dilihat, menjadi satu tamparan kepada DAP diterima kelmarin.

Alasan meninggalkan parti disebabkan oleh salah faham atau perselisihan pendapat antara ahli parti, pada hemat Chong, bukanlah satu alasan yang kukuh untuk meninggalkan parti.

Inilah yang dimaksudkan dengan mempunyai seorang pemimpin yang berjiwa kental, tidak mudah goyah apabila diuji dengan masalah atau kemelut dalaman ahli.

Umpama sebuah nakhoda, jika nakhodanya seorang yang takutkan laut dan tidak mempunyai ilmu tentang pelayaran yang mencukupi, lambat laun, karamlah bahtera yang dikemudi itu.

Kelmarin, Wong dalam kenyataannya memaklumkan bahawa beliau muak dan bosan dengan beberapa tingkah laku ahli dalam DAP.

Beliau turut membidas taktik berkonfrontasi dan serangan peribadi terhadap mereka yang berbeza pandangan.

Amalan itu adalah kaedah old school yang masih dipraktikkan oleh pemain-pemain dalam parti dan semestinya, generasi pemimpin muda hari ini akan merasa muak dan bosan dengan permainan sebegitu.

Tidak kiralah sama ada permainan itu dilakukan di Sarawak, Sabah atau pun di sebelah Semenanjung. Cuma, yang kuat akan survive!

Membalas kenyataan itu Chong berkata: “Amat sedih melihat seorang pemimpin parti menentang parti dan menimbulkan kerosakan pada parti yang diwakilinya selama ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Padungan dua penggal itu berkata, beliau tidak mempunyai rancangan untuk menyertai mana-mana parti politik lain buat sementara ini dan sekali gus, menolak untuk bertanding semula pada pilihan raya negeri akan datang.

Chong berkata: “Bagi keputusan yang begitu berat ini, saya sangka dia (Wong) akan terlebih dahulu menyampaikan hasratnya (untuk keluar dari parti) kepada saya.

“Sekurang-kurangnya dia membincangkannya terlebih dulu sebelum membuat keputusan sebegitu rupa tetapi sayangnya, itu tidak berlaku,” ujar beliau.

Katanya lagi, semua parti politik akan ada jatuh bangunnya dan juga perbezaan pendapat.

Seorang ahli yang sejati akan tetap bersama parti walau apa pun berlaku.

“Oleh itu, saya harap dia mempertimbangkan semula keputusannya untuk keluar parti dan tidak mengecewakan pengundi yang memilihnya di Padungan,” kata beliau. – SM

(Visited 217 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button