Politik

Rundingan terus: Pembangkang cabar menteri dedah nama syarikat

AHLI Parlimen Pembangkang terus mencabar Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan senarai syarikat yang menerima 101 projek dengan nilai perolehan RM6.61 bilion secara rundingan terus oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Menurut mereka jika Tengku Zafrul tidak mendedahkan nama syarikat yang menerima projek secara rundingan terus itu di Parlimen hari ini, maka kenyataan Menteri Kewangan itu semalam di Dewan Rakyat dianggap sebagai kenyataan politik.

“Jika Menteri Kewangan gagal pamer senarai 101 projek runding terus dengan nama-nama syarikat yang keseluruhannya dikatakan berjumlah lebih RM6 billion tu, kita anggaplah ia hanya kenyataan politik. Sama macam Noh Omar tak boleh beza syarikat berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan,” kata Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad.

“Kalau gagal pamer senarai tersebut boleh di kira menyelewengkan Dewan?” ciap Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

“Saya mencelah pengulungan Menteri Kewangan  @tzafrul_aziz siang tadi dan mempertahankan saudara YB Bagan @guanenglim dengan bersetuju bahawa semua kontrak tanpa tender terbuka perlu dihebahkan kepada awam tidak kira samada sewaktu PH atau PN,” kata Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Simple je, tunjuk senarai projek direct nego ikut Kementerian dalam tempoh 5 tahun ini, termasuk kerajaan #Antara2Darjat 5 bulan. Biar kita menilainya. Ingat Rakyat bodoh nak cuba main persepsi?” kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Semalam Dewan Rakyat gempar apabila Tengku Zafrul memberitahu 101 projek dengan nilai perolehan RM6.61 bilion diberikan secara rundingan terus oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Bekas Menteri Ekonomi ketika era pentabiran Kerajaan PH Datuk Seri Azmin Ali menafikan kenyataan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng kononya Kabinet mengetahui mengenai rundingan terus membabitkan 101 projek bernilai RM6.61 bilion.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak memberitahu Dewan Rakyat, tidak benar Guan Eng membentangkan senarai projek rundingan terus dalam mesyuarat Kabinet.

“Kita ada menteri kewangan yang memberikan butiran bukti yang jelas bahawa di zaman PH pun berlaku perkara yang sama. Jumlahnya 6 bilion ringgit.

“Dan tidak betul YB Bagan kata Kabinet tahu. Mana ada pembentangan senarai-senarai itu. YB Bagan tidak pernah bentangkan senarai projek dalam Kabinet,” tegas Azmin.

Pakatan Harapan dalam Buku Harapan Janji 23: Memastikan sistem perolehan kerajaan menjana faedah maksimum untuk wang rakyat, menyatakan:

“Untuk memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan baik, Kerajaan Pakatan Harapan akan mereformasi sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan, demi memastikan ia lebih berdaya saing dan menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat.

“Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar.”-SM

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button