Politik

Rundingan terus: Guan Eng dakwa tuduhan cuba alih perhatian

TUDUHAN projek rundingan terus terhadap Kementerian Kewangan ketika era Pakatan Harapan (PH) dikatakan sebagai cubaan mengalihkan perhatian terhadap kesalahan menteri berhubung kurantin 14 hari.

Dakwaan sedemikian susulan kenyataan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika penggulungan dalam Dewan Rakyat semalam.

“Semalam di Parlimen, Tengku Zafrul cuba mengalihkan perhatian kemelut antara dua darjat.

“Di mana Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali melanggari kurantin kendiri selama 14 hari dan dikompaun manja hanya RM1,000.

“Sedangkan makcik warga emas berumur 72 tahun dihadapkan ke mahkamah dan didenda RM8,000 serta penjara sehari.”

BACA > Rundingan terus: PCM lapor pada SPRM – Suara Merdeka

Demikian dakwaan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam sidang akhbar hari ini di lobi Parlimen.

Semalam, Tengku Zafrul memaklumkan sebanyak 101 projek dilaksanakan secara rundingan terus tanpa tender terbuka melibatkan nilai sebanyak RM6.6 bilion.

Perkara itu dimaklumkan beliau ketika berucap dalam penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Covid-19 Langkah Sementara.

Menurut Ahli Parlimen Bagan, Tengku Zafrul cuba bermain politik kotor dengan menuduh PH tidak telus dalam melaksanakan projek berkepentingan awam.

Justeru beliau meminta dan mencabar Menteri Kewangan untuk mendedahkan senarai projek dan syarikat yang terlibat dalam projek tersebut.

Tengku Zafrul juga diminta mendedahkan projek rundingan terus yang berlaku ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah.

“Boleh ke Tengku Zafrul menyatakan nilai projek-projek rundingan terus oleh Barisan Nasional (BN) dan yang diluluskan oleh beliau sendiri sebagai Menteri Kewangan PN.

BACA > PH luluskan 101 projek bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus – Suara Merdeka

“Adakah nilai projek-projek rundingan terus tersebut iaitu BN dan yang diluluskan oleh Tengku Zafrul lebih daripada 1.4 peratus jumlah keseluruhan perolehan kerajaan.

“Nilai projek rundingan terus PN yang diluluskan oleh Tengku Zafrul, kita masih belum tahu lagi.

“Menteri Kewangan juga gagal mendedahkan senarai penuh projek rundingan terus PH dan syarikat yang terlibat.

“Saya cabar beliau dedahkan kesemuanya supaya rakyat boleh menilai dan membandingkan.

“Syarikat mana berjaya dapat tender, kroni siapa dapat serta menteri mana yang memohon kelulusan rundingan terus.

“Atau Tengku Zafrul takut akan terbongkar nanti bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Menteri Dalam Negeri di bawah kerajaan PH dan juga menteri-menteri pengkhianat yang lain pun ada memohon projek rundingan terus daripada saya sebagai Menteri Kewangan,” katanya.

Semalam Dewan Rakyat kecoh selepas Tengku Zafrul memaklumkan mengenai 101 projek rundingan terus tersebut lalu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen bangkit mencelah.

BACA > 101 projek dengan nilai perolehan RM6.61 bln diberikan secara rundingan terus di bawah PH – Suara Merdeka

Susulan itu juga, Yang Dipertua Dewan Rakya, Datuk Azhar Azizan Harun mengarahkan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham keluar dewan. – SM

(Visited 92 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button