Politik

Tim. Menteri mohon cuti 55 hari lawat keluarga di New Zealand

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar menjelaskan beliau telah memohon cuti selama 55 hari termasuk cuti tanpa gaji bagi cuti yang melebihi kelayakan cuti rehat bagi membolehkan dia berada di New Zealand dalam tempoh tersebut.

Menurut Santhara, permohonan cuti itu telah mendapat kelulusan Perdana Menteri Tan Sri Muyiddin Mohd. Yassin pada 18 Disember lalu dan disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Santhara berkata, tujuan beliau memohon cuti adalah bagi melawat anak-anaknya yang berada di New Zealand khususnya terhadap anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

“Selain itu, sebagai bapa yang bertanggungjawab, saya perlu untuk bertemu dengan dengan anak yang berusia 9 tahun bagi menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sepanjang cuti rehat tersebut setelah hampir setahun tidak berjumpa.

“Di samping itu, saya juga perlu melawat isteri yang mengalami masalah kesihatan. Sebagai tambahan, upacara anak saya yang berumur 9 tahun untuk menerima holy communion juga tidak dapat saya hadiri kerana sentiasa sibuk dengan tugas sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau menjawab laporan media berhubung kehilangan beliau yang kononnya berada di New Zealand untuk bercuti.

Santhara berkata, beliau tidak mengabaikan tanggangjawab sebagai Ahli Parlimen Segamat dan sebagai Timbalan Menteri.

Katanya, dia telah menghadiri setiap hari persidangan Dewan Rakyat dengan rekod kehadiran 100 peratus.

Beliau juga telah menghadiri persidangan Dewan Negara untuk penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada 22hb Disember 2020.

Selain itu, Santhara berkata, sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan bermula pada 10 Mac dia tidak pernah memohon cuti rehat, tidak pernah bercuti pada hujung minggu ataupun cuti peristiwa mahupun cuti perayaan, atau mendapatkan cuti sakit sepanjang tempoh tersebut.

“Ini bagi memastikan saya sentiasa dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dalam mendepani setiap isu berkaitan pandemik Covid-19 dan isu-isu rakyat di Wilayah Persekutuan dan Parlimen Segamat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada tahun 2020.

“Untuk pengetahuan, Kad Laporan Prestasi Parlimen Segamat, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Tahun 2020 telah menunjukkan prestasi melebihi 99 peratus dan semua gerak kerja di kawasan Parlimen Segamat terus dirancang dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin, seperti yang tertera dalam akaun media sosial facebook rasmi saya (www.drsanthara.com),” katanya.

Santhara berkata, dia akan berbincang dengan peguam berkaitan tuduhan fitnah palsu yang telah dilemparkan kepadanya yang telah menjejaskan reputasi sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen.

Laporan polis juga akan dibuat terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab kerana melemparkan tuduhan palsu dengan niat yang jahat dan mengelirukan rakyat.

 

-SM

 

 

(Visited 448 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button