Alam SekitarKebakaran

Tujuh kilang musnah dalam kebakaran di Cheras

KUALA LUMPUR – Tujuh kilang dan satu stor simpanan barangan musnah manakala dua lagi rosak teruk dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Budiman, Cheras di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 pagi itu tidak melibatkan mangsa.

“Pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan pada jam 2.15 pagi dan pasukan pertama sampai ke lokasi kejadian 23 minit kemudian.

“Seramai 48 anggota bersama 10 jentera dan empat lori tangki air bersama sebuah ambulans dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, BBP Serdang, BBP Pandan, BBP Kajang, BBP Bangi, BBP Petaling Jaya, BBP Shah Alam dan BBP Cyberjaya dikerahkan ke lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Katanya, kebakaran bermula daripada empat kilang di kawasan berkenaan yang kemudian merebak ke kilang lain yang terletak berhampiran.

“Api merebak dengan pantas berikutan pengubahsuaian kilang dan kedudukan yang rapat, kilang-kilang yang terlibat juga padat dengan bahan yang mudah terbakar,” katanya.

Wan Md Razali berkata, lapan premis yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu adalah sebuah stor simpanan barang acara dan tujuh kilang melibatkan kilang barang plastik, kilang model rumah, kilang tembakau, kilang membuat perabot dan tilam, kilang audio kereta dan kilang makanan kucing.

Katanya, api dapat dikawal pada 4.37 pagi tadi dengan kerja-kerja memadam api di lokasi masih berjalan dan punca kejadian masih dalam siasatan. – Bernama

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button