
Rumah ‘Mampu Milik’ Hanya Pada Nama, Hakitkanya Menyakitkan
GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan supaya menilai semula semua dasar berkaitan perumahan mampu milik bagi memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
Memetik dari laporan Berita Harian Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr T Saravanan berkata, sudah tiba masanya sebuah badan khas seperti Majlis Perumahan Mampu Milik diwujudkan bagi meneliti semula pelaksanaan dasar sedia ada melibatkan pelbagai pihak berkepentingan seperti kerajaan, pemaju hartanah, pakar ekonomi dan wakil pengguna.
Menurut beliau, walaupun sesetengah unit perumahan diklasifikasikan sebagai ‘mampu milik’, hakikatnya masih ramai dari kalangan B40 dan M40 tidak berkemampuan untuk membeli rumah tersebut.
“Definisi ‘mampu milik’ yang digunakan pada masa kini tidak mencerminkan keadaan sebenar kemampuan kewangan rakyat. Jika diambil kira komitmen bulanan, kos sara hidup serta hutang sedia ada, harga rumah itu masih di luar jangkauan ramai,” jelasnya.
Tambah beliau, antara sebab utama banyak projek rumah mampu milik tidak mendapat sambutan ialah lokasinya yang kurang strategik, jauh dari bandar dan tidak mempunyai akses pengangkutan awam yang memadai.
Ketiadaan kemudahan penting seperti sekolah, klinik dan tempat kerja turut menyumbang kepada kegagalan projek-projek ini untuk menarik pembeli, katanya.
“Walaupun harga dilihat lebih rendah, namun kos kehidupan di kawasan tersebut menjadi tinggi kerana faktor jarak dan masa perjalanan yang panjang. Ini menjadikan rumah tersebut kurang praktikal untuk dibeli oleh golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya lagi.
FOMCA turut mencadangkan agar kerajaan membangunkan satu sistem pangkalan data yang komprehensif bagi mengenal pasti keperluan sebenar perumahan mengikut kawasan.
Sistem ini juga boleh membantu mengenal pasti bilangan isi rumah yang benar-benar memerlukan tempat tinggal, julat harga yang mampu dimiliki, serta jenis kediaman yang sesuai berdasarkan saiz keluarga dan jenis pekerjaan.
“Kejayaan dasar perumahan seharusnya diukur melalui tahap kemampuan rakyat untuk memiliki dan tinggal dengan selesa, bukan semata-mata jumlah unit yang dibina.
“Dasar yang berlandaskan data sebenar, keperluan tempatan dan kemampuan rakyat jauh lebih berkesan berbanding pendekatan yang hanya berpaksikan angka dan statistik,” tegas Dr Saravanan.