Politik

Asyraf belum terima surat tuntutan Maszlee

KETUA Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki masih belum menerima Surat Tuntutan daripada bekas Menteri Pelajaran Dr. Maszlee Malik berhubung isu buku teks Sejarah Tingkatan 4.

Menurut Asyraf Wajdi, beliau akan menyerahkan kepada pasukan peguamnya untuk tindakan lanjut selepas menerima Surat Tuntutan berkenaan.

“Sehingga kini saya masih belum terima LOD dari YB @maszlee. Pasukan peguam saya akan meneliti kandungan LOD dan mengesyorkan tindakan susulan berdasarkan undang-undang.

“Mahu guna undang-undang, kita cari kebenaran melaluinya. Hal-hal lain sudah tidak relevan! #bukutekssejarah,” ciap Asyraf Wajdi di Twitternya.

Maszlee yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam hari ini dalam satu kenyataan berkata, beliau telah menghantar surat tuntutan terhadap Asyraf.

Dalam surat tersebut beliau menuntut empat perkara terhadap Asyraf Wajdi berhubung hantaran yang dibuat oleh bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pada 24 Februari lalu.

Ahli Parlimen Simpang Rengam itu menuntut Asyraf Wajdi untuk memadam serta-merta hantaran yang dibuat tersebut.

Maszlee juga menuntut supaya Asyraf Wajdi memastikan bahawa mana-mana profil atau halaman Facebook dan media sosial yang menyiarkan hantaran tersebut menarik dan memadam hantaran itu serta-merta.

Maszlee juga mahu Asyraf Wajdi membuat kenyataan maaf bertulis di dalam Facebook beliau serta di akhbar tempatan.

Selain itu, beliau turut menuntut Asyraf Wajdi membayar sejumlah wang sebagai pampasan.

Asyraf Wajdi dalam hantaranya mahu Kementerian Pendidikan menarik balik dan membetulkan fakta sejarah Tingkatan 4 yang didakwa mengagungkan komunis.

Asyraf mendakwa perkara ini semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan Pakatan Harapan memerintah bagi menanamkan benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan.

“Lebih mendukacitakan lagi apabila terdapat juga elemen memfitnah dan menohmah orang Melayu sebagai barua atau orang suruhan pihak penjajah Jepun untuk menentang Komunis dan MPAJA (Rujuk muka surat 75 Buku Teks Sejarah Tingkatan 4).

“Secara halus dan tersirat, Kerajaan Pakatan Harapan terdahulu telah mengangkat dan menjulang anggota Komunis dan MPAJA sebagai perwira dan pejuang kemerdekaan yang wajar diberikan pengiktirafan,” katanya.

Dalam hantaran tersebut Asyraf Wajdi tidak menyebut nama Maszlee. Hantaran itu masih boleh dibaca di Fecebook beliau.-SM

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button